Minit pengampunan Najib: kebijaksanaan Tuanku terserlah, penasihat undang-undang pula dipersoalkan

Dari Meja Editorial ND

ADA pihak menyangka dengan mendedahkan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan berkaitan permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Razak, mereka berjaya meletakkan institusi Yang di-Pertuan Agong dalam keadaan serba salah.

Namun, apabila keseluruhan kandungan minit itu diteliti, timbul satu persoalan yang jauh lebih besar daripada polemik politik yang cuba dicetuskan. Benarkah keputusan yang diperkenankan Tuanku itu satu kontroversi atau sebenarnya memperlihatkan kebijaksanaan seorang raja yang memahami semangat keadilan dan batas tanggungjawab setiap anggota Lembaga Pengampunan?

Lebih menarik, dokumen yang sepatutnya dijadikan senjata untuk mempertikaikan keputusan diraja itu sebaliknya membuka ruang kepada rakyat menilai hujah dan pendirian mereka yang hadir sebagai penasihat serta anggota Lembaga Pengampunan.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Lihat sahaja perenggan 1.2. Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, dikatakan mengemukakan pandangan bahawa hukuman tahanan rumah tidak mempunyai peruntukan dalam undang-undang sedia ada.

Hujah itu mungkin boleh dibincangkan dari sudut pelaksanaan undang-undang, tetapi persoalan yang lebih asas ialah sejauh mana ketiadaan peruntukan khusus dalam undang-undang biasa boleh dijadikan alasan untuk mengetepikan pertimbangan kuasa pengampunan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan?

Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong dalam urusan pengampunan, penangguhan dan peringanan hukuman bagi kesalahan yang berada dalam bidang kuasa Wilayah Persekutuan.

Kuasa itu bukan sekadar satu formaliti pentadbiran. Ia mempunyai dimensi belas ihsan, keadilan dan pertimbangan kemanusiaan yang menjadi sebahagian daripada tradisi Raja Berperlembagaan.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Justeru, apabila pertimbangan pengampunan cuba disempitkan dengan alasan politik, ekonomi dan pelaburan, kita wajar bertanya: sejak bilakah pertimbangan ekonomi negara boleh mengatasi pertimbangan keadilan dan belas ihsan dalam urusan pengampunan diraja?

Lebih menghairankan apabila isu tunggakan cukai RM1.7 bilion serta prosiding kebankrapan turut dibangkitkan seperti yang dicatatkan dalam perenggan 1.7.

Bukankah isu cukai itu merupakan pertikaian berasingan yang perlu diselesaikan melalui proses mahkamah? Jika masih terdapat prosiding dan hak pembelaan belum selesai, mengapa perkara sedemikian perlu dijadikan pertimbangan dalam permohonan pengampunan bagi kes jenayah yang berbeza?

Di sinilah perenggan 1.8 menjadi antara bahagian paling menarik untuk diteliti.

Berdasarkan catatan minit berkenaan, Yang di-Pertuan Agong mengingatkan, isu cukai tersebut tidak mempunyai kaitan dengan pertimbangan yang sedang dibincangkan, selain menegaskan hak seseorang banduan untuk mempertahankan dirinya di mahkamah.

Pendirian itu memperlihatkan satu prinsip keadilan yang sangat asas: seseorang tidak seharusnya dihukum atas sesuatu pertikaian lain yang belum diputuskan melalui proses undang-undang.

Dalam kaedah fiqh, prinsip ini dikenali sebagai al-aslu bara’atudh-dhimmah, iaitu seseorang pada asasnya bebas daripada tanggungan sehingga wujud bukti yang menetapkan sebaliknya.

Ironinya, prinsip asas yang sepatutnya difahami oleh setiap pengamal undang-undang itu terpaksa diingatkan oleh seorang Raja kepada mereka yang berada di meja perbincangan.

Persoalan seterusnya lebih menarik apabila kita meneliti pendirian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.

Dalam perenggan 1.3, pendiriannya dilihat seiring dengan pandangan Peguam Negara. Namun, yang lebih menimbulkan tanda tanya ialah tindakannya dalam perbincangan mengenai draf perintah pengampunan bersyarat.

Pada perenggan 1.13, Peguam Negara dan Hannah Yeoh dikatakan tidak memberikan komen terhadap draf syarat perintah berkenaan.

Kemudian, pada perenggan 1.17, Hannah Yeoh membangkitkan Seksyen 14 Akta Perwakilan Kuasa 1956 (Akta 358) sebagai asas kepada pendiriannya berhubung penandatanganan perintah tersebut.

Persoalannya, mengapa seorang menteri yang menjadi anggota Lembaga Pengampunan di bawah Perkara 42(5) Perlembagaan Persekutuan dilihat begitu keberatan melaksanakan tanggungjawab berkaitan perintah yang sedang dibincangkan sehingga mencadangkan supaya Ketua Setiausaha Negara mengambil alih urusan penandatanganan?

Di sini timbul persoalan mengenai prinsip delegatus non potest delegare, iaitu seseorang yang diberikan kuasa tidak boleh sewenang-wenangnya menyerahkan kuasa tersebut kepada pihak lain tanpa asas yang membenarkannya.

Keanggotaan dalam Lembaga Pengampunan bukan sekadar kedudukan protokol atau kehadiran untuk mencukupkan bilangan anggota mesyuarat. Ia membawa amanah dan tanggungjawab perlembagaan.

Seorang menteri yang dilantik sebagai anggota lembaga itu sepatutnya memahami tanggungjawabnya, bukannya meletakkan urusan tersebut kepada pegawai lain apabila berdepan persoalan yang mempunyai implikasi politik.

Lebih menarik, perenggan 1.20 hingga 1.22 mencatatkan pendirian Yang di-Pertuan Agong berhubung perkara tersebut.

Baginda mengingatkan bahawa Ketua Setiausaha Negara bukan anggota Lembaga Pengampunan dan mengarahkan supaya Menteri Wilayah Persekutuan sendiri menandatangani perintah berkenaan kerana tanggungjawab itu terletak pada kedudukan beliau.

Sekali lagi, minit tersebut memperlihatkan Baginda memberikan perhatian kepada kedudukan, bidang kuasa dan tanggungjawab setiap pihak yang terlibat.

Dalam tradisi pemerintahan Islam, al-Mawardi menerusi karya agungnya, Al-Ahkam al-Sultaniyyah, menghuraikan tanggungjawab kepimpinan tertinggi dalam memelihara agama dan menguruskan urusan dunia dengan adil, yang dirumuskan melalui konsep hirasah al-din wa siyasah al-dunya.

Kepimpinan bukan sekadar kuasa memerintah, tetapi amanah untuk memastikan keadilan tidak dikorbankan kerana kepentingan politik, tekanan pentadbiran atau pertimbangan peribadi.

Sebab itu, pendedahan minit mesyuarat berkenaan sepatutnya membuka ruang kepada penelitian yang lebih matang, bukannya dijadikan modal untuk memperlekehkan institusi diraja.

Jika benar ada pihak menyangka dokumen tersebut akan memalukan Yang di-Pertuan Agong, mereka mungkin perlu membaca semula kandungannya dengan lebih teliti.

Sebab yang terserlah bukan semata-mata perbezaan pandangan dalam sebuah mesyuarat, tetapi bagaimana seorang Raja memberikan perhatian kepada prinsip keadilan, hak pembelaan dan tanggungjawab perlembagaan setiap anggota yang hadir.

Institusi Raja Berperlembagaan bukan alat untuk memenangkan mana-mana parti politik. Begitu juga kuasa pengampunan bukan instrumen untuk memenuhi kehendak politik mana-mana pihak.

Namun, dalam sebuah negara yang menjunjung Perlembagaan, setiap kuasa mesti dilaksanakan mengikut kerangka undang-undang dan semangat keadilan.

Akhirnya, persoalan yang patut dijawab bukan mengapa Tuanku memperkenankan sesuatu keputusan, tetapi sama ada semua pihak yang terlibat telah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan penuh kefahaman terhadap Perlembagaan.

Rakyat melihat, dokumen telah dibaca dan sejarah akan mencatatkan segala-galanya. Dalam pertarungan antara kepentingan politik dengan prinsip keadilan, kebenaran tidak seharusnya ditentukan oleh siapa yang paling lantang bersuara.

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *