Rundingan gagal: ‘Tuntutan AS tidak munasabah’ – Iran; ‘Kami telah jelaskan garis merah’ – AS

ISLAMABAD – Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), JD Vance, mengesahkan rundingan dengan Iran yang berlangsung selama 21 jam di ibu negara Pakistan, gagal mencapai persetujuan mahupun perjanjian.

Vance menegaskan Washington sudah mengemukakan garis merahnya dengan jelas, namun Iran enggan menerima terma yang ditetapkan oleh AS.

“Berita tidak baik ialah persetujuan gagal dicapai, dan saya fikir perkara itu lebih buruk terhadap Iran berbanding AS.

“Oleh itu, kami pulang ke AS tanpa mencapai persetujuan. Kami telah menerangkan dengan sangat jelas mengenai garis merah kami.

“Namun, kami tidak dapat sampai ke tahap pihak Iran bersetuju dengan syarat-syarat kami,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Sementara itu media Iran, IRIB melaporkan tuntutan tidak munasabah oleh AS telah menggagalkan rundingan di Islamabad untuk menamatkan perang di Asia Barat.

“Delegasi Iran berunding secara berterusan dan intensif selama 21 jam bagi melindungi kepentingan nasional rakyat Iran.

“Walaupun terdapat pelbagai inisiatif daripada delegasi Iran, tuntutan tidak munasabah pihak AS telah menghalang kemajuan rundingan. Maka, rundingan telah berakhir,” menurut laporan IRIB dalam satu hantaran melalui Telegram.

Dalam pada itu, Vance turut memaklumkan bahawa beliau telah bercakap dengan Presiden AS, Donald Trump, sebanyak enam kali sepanjang tempoh rundingan itu berlangsung.

Beliau bagaimanapun memuji peranan Islamabad sebagai tuan rumah dan perantara, dengan menyampaikan penghargaan kepada Perdana Menteri serta Ketua Tentera Darat Pakistan.

“Sebarang kekurangan dalam rundingan ini bukan berpunca daripada pihak Pakistan yang telah melakukan tugas dengan sangat baik,” katanya.

Beliau berkata, AS kini meninggalkan Pakistan dengan apa yang disifatkannya sebagai ‘tawaran terakhir’.

Vance turut memberi isyarat yang beliau masih memberi masa kepada Iran untuk mempertimbangkan tawaran AS bahawa Washington akan menghentikan serangan bersama Israel selama dua minggu sementara menunggu rundingan.

“Kami meninggalkan sini dengan satu cadangan sangat ringkas, satu kaedah persefahaman yang merupakan tawaran terakhir dan terbaik kami. Kami akan melihat sama ada Iran akan menerimanya,” katanya.

Vance berkata, isu teras pertikaian mereka adalah berkaitan senjata nuklear.

Iran menegaskan pihaknya tidak sedang membangunkan bom nuklear, sebaliknya AS dan Israel telah mengebom lokasi sensitif republik Islam itu dalam perang yang dilancarkan pada 28 Februari lalu serta serangan tahun lalu.

“Fakta mudahnya ialah kami perlu melihat komitmen jelas bahawa mereka tidak akan berusaha memiliki senjata nuklear dan juga tidak akan mendapatkan alat yang membolehkan mereka mencapai senjata nuklear dengan cepat.

“Persoalan mudahnya ialah adakah kami melihat komitmen asas yang kukuh daripada Iran untuk tidak membangunkan senjata nuklear – bukan hanya sekarang, bukan hanya dua tahun akan datang, tetapi untuk jangka panjang?

“Kami belum melihat itu lagi. Kami berharap akan melihatnya,” kata Vance lagi.

Namun dalam kenyataan ringkas di sebuah hotel mewah di Islamabad tempat kedua-dua pihak bertemu, Vance tidak menyentuh perbezaan pendapat mengenai satu lagi isu utama – pembukaan semula Selat Hormuz yang juga laluan penting untuk penyaluran kira-kira satu perlima minyak dunia.

Vance turut memaklumkan bahawa Trump di Washington semalam menyatakan beliau tidak kisah sama ada kedua-dua pihak mencapai perjanjian.

“Saya fikir kami sangat fleksibel. Kami sangat bertolak ansur. Presiden berkata kepada kami: anda perlu datang dengan niat baik dan berusaha sedaya upaya untuk mencapai perjanjian.

“Kami telah melakukan itu dan malangnya, kami tidak dapat mencapai kemajuan,” katanya.

Rundingan 21 jam AS, Iran di Islamabad: Apa perlu kita tahu

Rundingan damai peringkat tertinggi antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran berakhir tanpa persetujuan selepas berlangsung selama 21 jam.

Terdahulu, AFP melaporkan rundingan di sebuah hotel di sini, memasuki hari kedua pada pagi Ahad selepas media Iran melaporkan kedua-dua pihak akan berehat beberapa jam sebelum Subuh hari ini.

Semalam, Rumah Putih memaklumkan rundingan yang diadakan di sebuah hotel mewah itu berlangsung lebih 15 jam dan berlanjutan sehingga lewat tengah malam Ahad.

Fakta rundingan 21 jam

* Dijalankan secara tertutup tanpa kehadiran media, manakala wartawan dari seluruh dunia hanya menunggu perkembangan di pusat konvensyen tanpa sebarang pengumuman rasmi.

* Naib Presiden AS, JD Vance muncul sebagai pegawai tertinggi AS yang bertemu secara langsung dengan pegawai Iran sejak Revolusi Islam 1979.

* Delegasi Iran dianggarkan seramai 70 anggota diketuai Speaker Parlimen, Mohammad Bagher Ghalibaf dan turut disertai Menteri Luar, Abbas Araghchi.

* Pertemuan bersejarah di ibu negara Pakistan itu berlangsung beberapa hari selepas AS dan Israel menghentikan konflik yang menjejaskan ekonomi global dan kestabilan Asia Barat.

* Berbeza dengan amalan sebelum ini, pegawai Iran dan AS dilaporkan bertemu secara bersemuka bersama wakil Pakistan tanpa perlu menggunakan khidmat orang tengah.

2 kapal perang AS lintas Selat Hormuz

Sementara itu, tentera AS memaklumkan dua kapal perang tentera lautnya sudah melintasi Selat Hormuz pada Sabtu bagi memulakan operasi membersihkan periuk api dengan tujuan memastikan laluan selamat untuk kapal tangki minyak.

Namun, tentera Iran menafikan kehadiran kapal perang AS di perairan itu dan mengancam akan bertindak tegas terhadap sebarang percubaan untuk melintasi kawasan berkenaan.

Menurut AFP, Iran menuntut pencairan aset yang dibekukan serta pengakhiran perang Israel terhadap Hizbullah di Lubnan sebagai syarat utama bagi mencapai sebarang perjanjian damai.

Selepas 21 jam, Vance pada sidang media hari ini berkata, rundingan dengan Iran gagal mencapai persetujuan, dengan mengatakan beliau akan pergi selepas mengemukakan tawaran muktamad dan terbaik.

Penyiar kerajaan Iran, IRIB pada Ahad pula berkata, tuntutan yang tidak munasabah oleh AS menggagalkan rundingan di Islamabad untuk menamatkan perang di Asia Barat.

“Delegasi Iran berunding secara berterusan dan intensif selama 21 jam untuk melindungi kepentingan negara rakyat Iran.

“Meskipun terdapat pelbagai inisiatif daripada delegasi Iran, tuntutan yang tidak munasabah daripada pihak Amerika menghalang kemajuan rundingan. Oleh itu, rundingan berakhir,” kata IRIB di Telegram.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

13.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *