BERLIN – Marie-Louise Eta mencipta sejarah apabila muncul sebagai pengurus wanita pertama dalam lima liga utama Eropah.
Jurulatih dari Jerman itu dilantik sebagai ketua jurulatih sementara Union Berlin sehingga penghujung musim.
Eta, 34, diberikan tanggungjawab terbabit susulan pemecatan Steffen Baumgart selepas kekalahan 1-3 kepada Heidenheim.
Ketika ini, Union Berlin berada di tangga ke-11 Bundesliga, namun masih belum selesa dalam saingan apabila hanya tujuh mata memisahkan mereka daripada St Pauli di kedudukan play-off penyingkiran (ke-16).
Pelantikan Eta sebagai pengendali interim, dengan potensi disahkan secara tetap pada musim panas, diumumkan kelab menerusi satu kenyataan rasmi.
“Pasukan lelaki 1 FC Union Berlin akan mengharungi fasa akhir musim serta perjuangan mengelak penyingkiran di bawah bimbingan Marie-Louise Eta yang sebelum ini adalah jurulatih skuad Bawah 19 tahun dan bakal ketua jurulatih pasukan wanita utama kelab,” menurut kenyataan itu.
Eta menyifatkan peluang terbabit sebagai satu cabaran besar dan bertekad memastikan pasukan kekal dalam liga utama.
“Saya gembira kelab memberikan kepercayaan ini kepada saya. Salah satu kekuatan Union ialah keupayaan untuk bangkit bersama dalam situasi sukar seperti ini.
“Saya yakin kami mampu meraih mata penting bersama pasukan. Dengan jurang mata yang rapat di kelompok bawahan, kedudukan kami dalam Bundesliga masih belum selamat,” katanya.
Perlawanan pertama Eta sebagai pengendali bakal menyaksikan Union Berlin berdepan Wolfsburg pada 18 April di Stadion An der Alten Forsterei.
Sepanjang karier sebagai pemain, Eta pernah mencipta kejayaan apabila menjuarai Liga Juara-Juara Wanita pada 2010 bersama FFC Turbine Potsdam.
Dia turut beraksi bersama Hamburger SV dan Werder Bremen sebelum bersara pada 2018.
Selepas itu, bekas pemain tengah itu memulakan kerjaya kejurulatihan termasuk sebagai penolong kepada Marco Grote di Union Berlin pada 2023, selain mengendalikan skuad bawah 19 tahun kelab berkenaan. -AGENSI
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L