KUALA LUMPUR – Kerajaan memperincikan rangka tindakan menyeluruh bagi mendepani krisis tenaga global yang kian mencabar menerusi mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara hari ini, dengan penekanan terhadap keseimbangan antara kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, pendekatan kerajaan kekal berpaksikan disiplin fiskal serta realiti semasa, tanpa mengabaikan keperluan asas rakyat.
Menurut beliau, usaha segera kini tertumpu kepada memastikan bekalan tenaga dan barangan keperluan harian kekal stabil serta mencukupi.
Beliau menjelaskan, jaminan bekalan ini digerakkan dengan sokongan Petronas, di samping perancangan rapi bagi menghadapi kemungkinan gangguan bekalan pada masa hadapan.
Dalam masa sama, kerajaan memperhebat langkah mitigasi kos melalui pemberian subsidi tambahan diesel yang disasarkan kepada pesawah, petani, pekebun kecil serta pemilik kenderaan individu sebagai usaha mengurangkan beban kenaikan harga.
Selain itu, pengurusan permintaan tenaga turut diperkukuh menerusi amalan penggunaan tenaga secara lebih cekap, termasuk pelaksanaan bekerja dari rumah bagi penjawat awam sebagai langkah segera mengurangkan penggunaan tenaga dan mobiliti harian.
Kerajaan juga akan mempergiat Ops Tiris bagi mengekang ketirisan serta aktiviti penyeludupan yang berpotensi menjejaskan kestabilan bekalan minyak negara.
Bagi jangka sederhana dan panjang, tumpuan diberikan kepada mempercepat peralihan ke arah sumber tenaga boleh baharu bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api import.
“Biodiesel dikenal pasti sebagai antara penyelesaian paling praktikal dalam tempoh terdekat, dengan pelaksanaan peningkatan kadar adunan kepada B15 secara berperingkat,” kata beliau.
Tambahnya, pendekatan itu bukan sahaja mampu menstabilkan bekalan semasa, malah memperkukuh daya tahan sektor tenaga negara dalam menghadapi ketidaktentuan global yang berpanjangan.
Berita ini diolah semula oleh NurFarhana Zulkeply. Beliau adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L