PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah mengambil keterangan seorang individu yang dipercayai terlibat dalam penyebaran maklumat tidak tepat berkaitan dakwaan penghantaran ratusan ribu tong diesel ke Filipina, dalam usaha membendung kekeliruan awam.
Menurut kenyataan suruhanjaya itu, hasil siasatan awal mendapati bekalan diesel yang diperkatakan sebenarnya dimiliki oleh syarikat perdagangan antarabangsa Vitol, dan bukannya milik Petroliam Nasional Berhad atau kerajaan Malaysia seperti yang didakwa.
Dalam perkembangan sama, pihak berkuasa turut merampas peranti komunikasi yang dipercayai digunakan untuk menyebarkan kandungan berkenaan bagi membantu siasatan lanjut.
Sehingga 14 April, sebanyak 47 kertas siasatan telah dibuka melibatkan penyebaran berita palsu berkaitan krisis tenaga global di pelbagai platform digital, susulan ketegangan konflik di Asia Barat yang mencetuskan kebimbangan masyarakat.
Antara maklumat tidak sahih yang dikenal pasti termasuk dakwaan kenaikan harga bahan api melebihi kadar rasmi, peningkatan tarif elektrik, keperluan bayaran tol oleh kapal Malaysia di Selat Hormuz, serta pemberian subsidi BUDI95 kepada warga Singapura.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan platform digital untuk menyebarkan maklumat palsu, dan akan terus mengambil tindakan tegas demi melindungi kepentingan awam.
Berita ini diolah semula oleh Siti Khadijah Manudin. Beliau adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L