Oleh: Ir. Ts. Dr. Kamaruzaman Md. Ali

DALAM usaha memperkukuh pembangunan tenaga mahir negara, keperluan untuk agensi latihan menjalinkan kerjasama strategik dengan pihak industri tidak lagi boleh dianggap sebagai pilihan, sebaliknya satu keperluan mendesak.
Landskap teknologi yang berubah pantas menuntut pendekatan latihan yang lebih dinamik, responsif dan berpaksikan realiti industri semasa. Pendekatan ini selari dengan aspirasi Dasar TVET Negara 2030 yang menekankan model TVET berteraskan industri (industry led TVET) bagi memastikan sistem latihan sentiasa relevan, fleksibel dan memenuhi keperluan pasaran kerja.
Hakikatnya, industri sentiasa berada di barisan hadapan dalam penggunaan teknologi dan peralatan terkini. Mesin berautomasi, sistem digital dan perisian industri yang canggih sering kali dikemas kini mengikut keperluan pasaran.
Dalam situasi ini, adalah tidak praktikal untuk setiap agensi latihan memiliki peralatan yang sama secara berterusan memandangkan kos yang tinggi serta kadar keusangan teknologi yang cepat.
Justeru, kerjasama strategik dengan industri membolehkan akses terus kepada fasiliti dan teknologi semasa, sekali gus memastikan pelatih mendapat pendedahan sebenar yang selari dengan kehendak pekerjaan.
Pendekatan ini turut mencerminkan anjakan utama dalam (R)EVOLUSI TVET yang diperkenalkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), khususnya melalui fokus Transformasi Sistem, iaitu perubahan sistem TVET negara ke arah yang lebih bersepadu, berorientasikan masa hadapan.
Pendekatan ini juga memberikan impak besar dari sudut kecekapan penggunaan sumber. Dengan mengoptimumkan aset sedia ada di industri, kerajaan dapat mengurangkan kebergantungan terhadap perbelanjaan besar bagi pembelian peralatan baharu di institusi latihan.
Penjimatan ini boleh disalurkan kepada aspek lain seperti peningkatan kualiti pengajaran, pembangunan tenaga pengajar serta penambahbaikan kurikulum. Dalam masa yang sama, pelatih memperoleh latihan yang lebih berkualiti tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada kemudahan institusi.
Ini selaras dengan prinsip pengoptimuman sumber nasional yang digariskan dalam Dasar TVET Negara 2030, yang menekankan penggunaan sumber secara strategik dan berimpak tinggi.
Lebih daripada itu, kerjasama ini membuka ruang kepada pemindahan ilmu dan kepakaran secara langsung daripada pemain industri kepada pelatih. Tenaga pengajar juga berpeluang menjalani latihan industri (industry attachment) bagi meningkatkan kompetensi mereka selaras dengan perkembangan semasa.
Dari perspektif industri pula, penglibatan dalam latihan tenaga mahir merupakan satu bentuk tanggungjawab sosial (CSR) yang signifikan.
Industri bukan sahaja mendapat akses kepada bakat baharu yang telah dilatih mengikut keperluan mereka, malah dapat membentuk tenaga kerja masa depan yang lebih produktif dan efisien. Hubungan dua hala ini mewujudkan ekosistem win-win yang memberi manfaat kepada semua pihak.
Selain itu, kerjasama strategik ini turut mempercepatkan proses penyesuaian kurikulum latihan agar sentiasa relevan dengan keperluan semasa. Input terus daripada industri membolehkan agensi latihan merangka modul yang lebih praktikal, berfokus dan berorientasikan pekerjaan sebenar.
Ini penting bagi memastikan graduan tidak hanya memiliki sijil, tetapi benar-benar kompeten untuk menyumbang kepada industri sebaik sahaja menamatkan latihan.
Pendekatan ini selari dengan dasar sedia ada negara yang menekankan penghasilan graduan yang job ready dan berdaya saing, khususnya dalam sektor berimpak tinggi (HGHV).
Kejayaan pendekatan ini dapat dilihat melalui pelaksanaan kerjasama strategik oleh Kolej Teknologi Termaju Jabatan Tenaga Manusia (ADTEC JTM), contohnya ADTEC Melaka (PROTON Institute) dengan PROTON, serta jaringan kolaborasi bersama rakan industri lain seperti Daikin, Huawei, Petronas, Sarawak Skills, SG Academy dan banyak lagi.
Melalui kerjasama ini, pelbagai nilai tambah berjaya diwujudkan termasuk perkongsian fasiliti dan teknologi terkini, pemindahan kepakaran industri secara langsung, serta pendedahan kepada amalan kerja sebenar. Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kualiti latihan, malah memastikan pelatih dilengkapi kompetensi yang relevan dan selari dengan keperluan industri semasa.
Dengan melihat kehadapan, kolaborasi erat antara agensi latihan dan industri merupakan kunci utama dalam melahirkan tenaga mahir berkualiti tinggi. Dalam era ekonomi berasaskan kemahiran, pendekatan silo tidak lagi sesuai. Sebaliknya, sinergi antara latihan dan industri perlu diperkasakan secara berterusan bagi memastikan negara mampu melahirkan tenaga kerja yang kompeten, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Ir. Ts. Dr. Kamaruzaman Md. Ali adalah Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L