Tol Iran di Selat Hormuz Jadi Isu Rundingan Dengan AS

Olahan: Fatin Sajidah Fathuldin

PARIS – Cadangan Iran mengenakan tol di Selat Hormuz yang merupakan laluan kapal perdagangan terbesar dunia telah menjadi titik perbalahan utama dalam perundingan bersama Amerika Syarikat (AS) yang bermula di Pakistan pada Jumaat.

Tindakan itu susulan serangan AS dan Israel ke atas Iran pada 28 Februari, yang dibalas Tehran dengan menyekat laluan di selat berkenaan kepada hampir semua kapal kecuali sebilangan kecil.

Selain itu, Iran bersetuju membuka semula laluan itu dalam tempoh gencatan senjata dengan AS atas syarat sistem tol dikenakan untuk membiayai pembinaan semula kesan serangan AS-Israel.

Kesatuan Eropah (EU) mengecam cadangan tersebut pada Khamis, manakala pendirian Presiden AS, Donald Trump dilihat berbelah bahagi terhadap hal ini.

Langkah itu berisiko tinggi memandangkan sekitar 20 peratus bekalan minyak dunia serta sejumlah besar gas asli dan baja melalui kawasan berkenaan ketika waktu aman.

Bloomberg News melaporkan syarikat perkapalan dijangka membayar sehingga AS$2 juta (RM8 juta) bagi setiap kapal, manakala The Financial Times menyatakan caj sekitar satu dolar bagi setiap tong minyak dibayar dalam mata wang kripto atau yuan.

Pembukaan semula sementara selat itu diumumkan pada Selasa sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata AS-Iran.

Bagaimanapun, pakar insurans Lloyd’s List menyatakan rejim kelulusan Iran untuk transit di Selat Hormuz masih kekal, dengan beberapa kapal berdepan proses pengesahan yang lambat dan tidak jelas serta tuntutan tol mencecah berjuta-juta dolar.

Salah satu usul dalam pelan 10 perkara Iran untuk menamatkan perang yang dikemukakan kepada Washington ialah mengekalkan kawalan Tehran ke atas Selat Hormuz.

Sumber diplomatik Iran berkata, mekanisme baharu akan memastikan hak laluan sedia ada terus wujud, dianjurkan bersama Oman yang turut bersempadan dengan selat itu.

Kebebasan pergerakan kekal sebagai prinsip utama undang-undang maritim, dengan hanya Terusan Suez dan Terusan Panama yang mengenakan tol kerana kedua-duanya merupakan laluan buatan manusia yang memerlukan penyelenggaraan. – BERITA HARIAN

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *