AS Perketat Sekatan Laut, Halang Kapal Tangki Iran Keluar Pelabuhan

WASHINGTON — Amerika Syarikat (AS) mula menguatkuasakan sekatan laut terhadap Iran dengan menghalang kapal tangki minyak daripada meninggalkan negara itu, dalam usaha meningkatkan tekanan supaya Selat Hormuz dibuka semula.

Tindakan itu dilaksanakan apabila sebuah kapal pemusnah AS memintas dua kapal tangki yang berlepas dari pelabuhan Chabahar di Teluk Oman dan mengarahkan ia berpatah balik melalui komunikasi radio.

Menurut pegawai AS, insiden berkenaan mencerminkan pelaksanaan awal sekatan yang diumumkan Presiden Donald Trump sehari sebelumnya.

Sekatan itu bertujuan memaksa Iran menerima syarat Washington bagi menamatkan konflik dengan Israel yang tercetus pada 28 Februari lalu, termasuk membuka semula laluan perdagangan utama dunia itu.

Pegawai berkenaan berkata, dua kapal tersebut adalah antara enam kapal dagang yang diarahkan kembali ke pelabuhan Iran oleh Pemerintah Pusat AS.

Katanya, tiada kapal berjaya melepasi sekatan sejak ia mula berkuat kuasa, dengan operasi melibatkan lebih 10,000 anggota tentera, lebih 12 kapal perang serta puluhan pesawat.

Tentera AS menegaskan mereka akan terus menjamin kebebasan pelayaran di Selat Hormuz selagi kapal tidak menuju ke atau dari Iran.

Sekatan itu diumumkan selepas rundingan hujung minggu gagal mencapai persetujuan, sekali gus menyebabkan harga minyak dunia melonjak melebihi AS$100 setong sebelum kembali reda.

Penganalisis berpandangan langkah tersebut berpotensi melemahkan pengaruh Iran dalam rundingan serta membuka semula laluan perdagangan global, namun turut berisiko mencetuskan ketegangan baharu.

Tindakan itu juga dilihat boleh menjejaskan gencatan senjata yang masih rapuh, selain meningkatkan tekanan geopolitik di rantau berkenaan.

Ancaman Iran terhadap laluan perkapalan sebelum ini telah mendorong lonjakan harga minyak global hampir 50 peratus, manakala konflik berkenaan mengorbankan kira-kira 5,000 nyawa.

Walaupun ribuan serangan tentera Amerika Syarikat (AS) berjaya melemahkan keupayaan ketenteraan Iran, penganalisis berpandangan negara itu masih kekal sebagai cabaran besar kepada Washington, didorong oleh kepimpinan yang semakin tegas serta simpanan uranium diperkaya yang masih dimiliki.

Berita ini diolah semula oleh Fatin Sajidah Fathuldin. Beliau adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *