Olahan Fatin Sajidah Fathuldin
IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menyita 5,070 liter diesel bersubsidi dalam serbuan di Kampung Raja Hitam, Ayer Tawar awal pagi semalam.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalluddin Ismail berkata, operasi bersepadu Op Tiris 4.0 dan Ops Jeriji dilakukan sekitar jam 12.30 tengah malam itu melibatkan penguat kuasa KPDN bersama Kementerian Perladangan dan Komoditi.
Beliau berkata, premis terbabit dipercayai dijadikan lokasi transit untuk mengumpul diesel secara haram sebelum diedarkan ke pasaran industri.
“Seorang lelaki dikesan memindahkan cecair dipercayai diesel dari lori tiga tan ke dalam tangki pukal perantaraan (IBC),” katanya.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati lori berkenaan telah diubah suai dengan pemasangan tangki tambahan bagi membolehkan pengangkutan diesel dalam kuantiti lebih besar tanpa kebenaran.
Selain itu, beliau berkata semakan dokumen turut menemukan lapan invois yang menunjukkan pembelian berulang di sebuah stesen minyak di Sitiawan bagi mengumpul bekalan secara berperingkat.
“Diesel yang dikumpul dipercayai disimpan di lokasi tersebut sebelum dijual semula kepada pihak industri untuk keuntungan, sekali gus melanggar peraturan barangan kawalan.
KPDN Perak turut menyita pelbagai peralatan termasuk lori tiga tan, tangki skid, dua tangki IBC, dua pam elektrik, satu tangki gentian serta empat hos dengan nilai keseluruhan RM56,371.40,” katanya.
Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
“Siasatan turut akan diperluas termasuk terhadap stesen minyak yang disyaki membekalkan diesel kepada suspek, termasuk kemungkinan penarikan lesen jika didapati bersalah,” katanya. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L