Olahan Siti Khadijah Manudin
KAHERAH – Misi bantuan kemanusiaan Malaysia ke Gaza sekali lagi membuktikan semangat pengorbanan tinggi para sukarelawan yang sanggup merentas sempadan demi membantu rakyat Palestin yang terjejas akibat konflik berpanjangan.
Ketua projek Cinta Gaza Malaysia (CGM) di Gaza, Mahmoud Ghneim, berkata beliau menempuh perjalanan hampir dua hari dari Iraq ke Mesir bagi menyertai misi penghantaran bantuan tersebut.
Menurutnya, perjalanan itu melibatkan laluan dari Iraq ke Turkiye sebelum ke Kaherah, mengambil masa sekitar 40 hingga 45 jam, namun dianggap sebagai sumbangan kecil dalam usaha membantu rakyat Gaza.
Mahmoud yang telah berkhidmat dengan NGO Malaysia selama enam tahun meluahkan penghargaan terhadap kehadiran sukarelawan dari Asia Tenggara, khususnya Malaysia, yang memberi suntikan semangat kepada penduduk Gaza dalam menghadapi krisis kemanusiaan yang serius.
Beliau turut menyatakan bahawa hubungan antara rakyat Gaza dan Malaysia sangat erat, malah Malaysia dianggap antara negara luar yang paling dekat di hati mereka kerana sokongan berterusan yang diberikan.
Walaupun berdepan kehilangan ahli keluarga dan rakan akibat konflik, Mahmoud tetap komited meneruskan misi kemanusiaan, sambil melihat bantuan dari Malaysia sebagai sumber harapan penting kepada rakyat Palestin.
Sementara itu, sukarelawan Malaysia, Nik Abd Aziz Nik Mohd berkata penyertaan dalam misi tersebut memerlukan kekuatan mental dan fizikal, selain koordinasi rapi antara NGO dan pihak kerajaan bagi memastikan bantuan tidak tersangkut dalam proses logistik.
Beliau turut menekankan kepentingan hubungan diplomatik dalam memastikan kelancaran penghantaran bantuan ke Gaza.
Misi bantuan kemanusiaan Gaza 2026 yang dianjurkan oleh MAPIM melibatkan penghantaran 30 kontena membawa 374 tan barangan keperluan untuk kira-kira 100,000 penduduk Palestin.
Selain itu, misi tersebut turut disertai wakil media Malaysia bagi membuat liputan di lokasi. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L