KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) menyuarakan kebimbangan terhadap kenaikan mendadak harga minyak yang didakwa semakin membebankan rakyat di negara ini.
Naib Presidennya, Irwan Fahmi Ideris berkata, kerajaan tidak seharusnya terus bergantung kepada alasan ketidaktentuan pasaran global semata-mata bagi menjelaskan peningkatan tersebut.
Menurut beliau, walaupun konflik geopolitik termasuk ketegangan melibatkan Iran serta risiko gangguan di laluan strategik seperti Selat Hormuz memberi kesan kepada harga minyak dunia, bekalan ke rantau Asia termasuk Malaysia dilihat masih berjalan seperti biasa.
“Persoalan utama ialah sejauh mana faktor global benar-benar menjadi punca kenaikan harga domestik secara mendadak dan sejauh mana ia berkait dengan keputusan dasar dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Irwan Fahmi turut menegaskan, Malaysia sebagai negara pengeluar petroleum sepatutnya mendapat manfaat daripada peningkatan harga minyak global, termasuk melalui hasil petroleum dan dividen berkaitan.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan perlu memastikan manfaat tersebut disalurkan kembali kepada rakyat dalam bentuk perlindungan kos sara hidup.
Beliau menjelaskan, kenaikan harga minyak memberi kesan langsung kepada rantaian ekonomi termasuk harga barangan dan perkhidmatan, sekali gus menambah tekanan kepada rakyat.
“Rakyat berhak mendapat penjelasan yang telus dan berasaskan fakta, bukan sekadar alasan umum,” ujarnya.
Dalam pada itu, PERKASA turut menggesa kerajaan memastikan mekanisme kawalan harga dan subsidi dilaksanakan secara adil dan berkesan.
Menurutnya, persepsi harga meningkat dengan cepat, tetapi menurun secara perlahan boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap pengurusan ekonomi negara.
PERKASA dalam masa sama mengemukakan beberapa cadangan kepada kerajaan, antaranya memberikan penjelasan terperinci mengenai struktur harga semasa, menilai semula pendekatan subsidi khususnya bagi melindungi golongan berpendapatan rendah dan sederhana serta mengambil langkah proaktif untuk menstabilkan harga minyak domestik.
“Kepentingan rakyat mesti diutamakan dalam setiap keputusan ekonomi negara,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L