KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) menegaskan kebebasan berkarya dan berekspresi tidak boleh dijadikan alasan untuk mengetepikan kedudukan Islam, kesucian akidah serta sensitiviti umat Islam di negara ini.
Naib Presidennya, Dr. Amini Amir Abdullah berkata, kebebasan seni perlu dilaksanakan seiring tanggungjawab moral, penghormatan terhadap agama dan kepentingan awam, terutama apabila sesuatu persembahan melibatkan sensitiviti masyarakat tempatan.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Pemuda DAP, Woo Kah Leong yang menggesa pihak berkuasa menghormati kebebasan seni dan tidak menganggap persembahan konsert penyanyi antarabangsa, The Weeknd sebagai ancaman agama.
Kenyataan itu susulan tindakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) meneliti dakwaan unsur pemujaan dalam persembahan penyanyi berkenaan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 4 dan 5 November lalu.
Menurut Amini, Malaysia bukan negara yang mengamalkan kebebasan tanpa sebarang batasan kerana Perlembagaan Persekutuan sendiri menetapkan kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan menerusi Perkara 3(1).
Pada masa sama, katanya, kebebasan bersuara yang dijamin Perkara 10 juga tertakluk kepada sekatan yang dibenarkan undang-undang.
“Justeru, kebebasan seni tidak boleh dijadikan alasan untuk menafikan tanggungjawab menghormati kedudukan Islam dalam negara ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, PERKASA tidak pernah menolak perkembangan seni, kreativiti, industri hiburan mahupun kehadiran artis antarabangsa kerana sektor berkenaan turut menyumbang kepada ekonomi negara.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Bagaimanapun, katanya, perkara yang perlu diberikan perhatian ialah pematuhan terhadap garis panduan penganjuran persembahan serta keperluan menghormati nilai agama dan budaya masyarakat negara ini.
Menurutnya, artis antarabangsa yang mengadakan persembahan di Malaysia juga perlu memahami bahawa kebebasan berkarya datang bersama tanggungjawab menghormati undang-undang dan norma masyarakat tuan rumah.
Mengulas kontroversi konsert The Weeknd, Amini berkata penggunaan arca gergasi berwarna keemasan, kostum tertentu dan elemen koreografi yang dipertikaikan wajar diteliti secara menyeluruh sebelum sebarang kesimpulan dibuat.
Beliau bagaimanapun menjelaskan PERKASA tidak membuat kesimpulan bahawa arca berkenaan sememangnya objek pemujaan atau membuktikan berlakunya ritual tertentu dalam persembahan itu.
Sebaliknya, katanya, dakwaan berkenaan perlu disahkan berdasarkan bukti, konteks persembahan dan penelitian pihak berautoriti.
“PERKASA tidak membuat kesimpulan bahawa arca tersebut sememangnya objek pemujaan atau membuktikan berlakunya ritual tertentu. Namun, ketiadaan kesimpulan sedemikian bukan alasan untuk menutup ruang penelitian.
“Dakwaan perlu disahkan berdasarkan bukti, konteks persembahan dan penilaian pihak berautoriti,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan tindakan JAKIM mendapatkan penjelasan serta bekerjasama dengan Pusat Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) sebagai langkah wajar bagi memastikan perkara berkenaan dinilai secara profesional.
Menurutnya, penelitian itu tidak bermaksud kerajaan sudah menjatuhkan hukuman terhadap penganjur atau artis terbabit, sebaliknya bertujuan menentukan sama ada terdapat pelanggaran terhadap syarat dan garis panduan yang ditetapkan.
Amini turut mempersoalkan tindakan pihak tertentu yang didakwanya terlalu cepat melabelkan kebimbangan umat Islam sebagai panik budaya, konspirasi agama atau ketidakupayaan memahami seni moden.
Katanya, pendekatan sedemikian tidak mencerminkan kepekaan terhadap pegangan dan kepercayaan umat Islam, khususnya apabila sesuatu isu menyentuh persoalan akidah.
Beliau berkata, kebimbangan terhadap perkara berkaitan agama tidak seharusnya menyebabkan pihak yang menyuarakannya terus dianggap kolot, jumud atau menolak kemajuan.
“Mempertahankan akidah bukan bermaksud menolak kemodenan. Memelihara agama bukan bermaksud memusuhi seni. Kedua-duanya boleh berjalan seiring sekiranya semua pihak mempunyai rasa hormat dan tanggungjawab,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Amini menegaskan JAKIM tidak seharusnya dihalang atau diperlekehkan ketika menjalankan tanggungjawab kepakarannya dalam perkara berkaitan kepentingan Islam.
Katanya, institusi agama negara mempunyai peranan penting untuk memberikan pandangan, menjalankan penelitian dan mengemukakan nasihat berhubung isu yang menyentuh kepentingan umat Islam.
Walaupun Pemuda DAP mempunyai hak untuk mengemukakan pandangan, katanya, alasan kebebasan seni tidak sepatutnya digunakan untuk mempertikaikan setiap usaha institusi agama melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
Bagaimanapun, beliau menegaskan penelitian oleh JAKIM dan PUSPAL perlu dilaksanakan secara telus, profesional, objektif serta berasaskan bukti.
Katanya, sekiranya tiada pelanggaran terhadap syarat ditetapkan, perkara itu perlu dijelaskan secara terbuka bagi mengelakkan kekeliruan dan spekulasi dalam kalangan masyarakat.
Sebaliknya, jika penelitian mendapati wujud pelanggaran syarat atau peraturan, tindakan sewajarnya perlu diambil tanpa pilih kasih mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.
PERKASA turut menggesa kerajaan memperkukuh garis panduan penganjuran persembahan artis antarabangsa bagi mengelakkan kontroversi sama berulang pada masa hadapan.
Amini berkata, mekanisme penelitian awal perlu merangkumi konsep persembahan, reka bentuk pentas, elemen visual, kostum dan kandungan yang berpotensi mencetuskan konflik dengan sensitiviti agama serta budaya masyarakat tempatan.
Menurutnya, langkah pencegahan menerusi garis panduan yang jelas lebih baik berbanding pertikaian yang timbul selepas sesuatu acara selesai berlangsung.
Beliau berkata, kemajuan sesebuah negara tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan jumlah penganjuran konsert antarabangsa, kedatangan pelancong atau pulangan ekonomi semata-mata.
Sebaliknya, katanya, kemajuan turut perlu dinilai berdasarkan kekuatan nilai, integriti, jati diri, keharmonian masyarakat serta keupayaan negara mempertahankan prinsip perlembagaan dan agama.
“Jangan jadikan kebebasan seni sebagai perisai untuk memperlekehkan sensitiviti umat Islam. Jangan pula jadikan alasan kemajuan dan imej antarabangsa sebagai sebab untuk membisukan suara umat Islam,” katanya.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
