Tempahan tender RM1.82 bilion pacu ES Sunlogy kembang operasi ke Singapura

KUALA LUMPUR – Penyedia perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan elektrik (M&E) serta tenaga boleh diperbaharui, ES Sunlogy Bhd., mengukuhkan prospek pertumbuhan jangka panjang dengan nilai buku tender mencecah RM1.82 bilion.

Syarikat itu turut melebarkan sayap ke peringkat serantau menerusi penubuhan anak syarikat baharu di Singapura.

Nilai tender besar itu merangkumi tempoh penilaian dari 1 April 2025 hingga 28 Februari 2026. Selain itu, syarikat kini memiliki buku pesanan mantap kira-kira RM200 juta setakat ini, memberikan keterlihatan kukuh kepada rancangan pertumbuhannya.

Bagi keputusan kewangan belum diaudit suku kedua berakhir 31 Januari 2026 (Suku Kedua TK2026), ES Sunlogy mencatatkan hasil sebanyak RM42.78 juta berbanding RM100.02 juta pada suku sama tahun lepas.

Walaupun asas pendapatan lebih rendah, kecekapan operasi syarikat melonjakkan margin keuntungan kasar kepada 14.5 peratus, meningkat daripada 9.4 peratus pada tahun sebelumnya.

Prestasi hasil yang lebih perlahan disebabkan oleh kitaran hayat projek, di mana syarikat kini berada dalam fasa awal mobilisasi kontrak baharu, berbanding tahun lalu yang merekodkan pengiktirafan pendapatan daripada penyiapan projek utama.

Ini menyaksikan keuntungan selepas cukai (PAT) berada pada RM1.36 juta untuk suku berkenaan berbanding RM3.88 juta setahun sebelumnya.

Pengarah Urusan ES Sunlogy, Khor Chuan Meng menjelaskan, perkembangan itu adalah sebahagian daripada proses semula jadi kitaran perniagaan syarikat.

“Walaupun kadar pengiktirafan pendapatan dalam jangka masa terdekat terjejas, kami digalakkan oleh peningkatan margin keuntungan kasar, yang menggariskan disiplin operasi dan keupayaan kami mengurus pelaksanaan projek dengan cekap,” kata Chuan Meng.

Segmen penjanaan dan penjualan tenaga boleh diperbaharui syarikat turut menjadi tunjang kestabilan dengan hasil meningkat kepada RM4.30 juta bagi tempoh enam bulan pertama (1H TK2026), berbanding RM3.85 juta tahun sebelumnya.

Segmen ini terus menyumbang pendapatan berulang yang stabil, sekali gus memperkukuh daya tahan model perniagaan syarikat.

“Bersama kehadiran serantau yang semakin berkembang melalui anak syarikat di Singapura dan saluran tender menjanjikan yang sedang dinilai, kami percaya Kumpulan berada pada kedudukan baik untuk merebut peluang dalam kejuruteraan M&E dan tenaga boleh diperbaharui,” tambah Chuan Meng.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *