SEREMBAN – Seorang warga emas yang ditahan dalam kes letupan melibatkan peranti letupan buatan sendiri (IED) di Desa Palma, Nilai, disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL), malam tadi.
Ketua Polis Daerah Nilai, Supt Johari Yahya berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kematian lelaki berusia 63 tahun itu daripada anggota pengiring Penjara Kajang kira-kira jam 8.30 malam.
Menurutnya, lelaki terbabit, Yeoh Hock Sun disahkan meninggal dunia pada jam 8.18 malam akibat ‘refractory shock’, iaitu keadaan renjatan yang tidak memberi tindak balas walaupun rawatan standard telah diberikan secara optimum.
“Punca kematian adalah refractory shock dan ia disahkan oleh pihak hospital,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki ditahan polis selepas penemuan objek disyaki IED susulan kejadian letupan di kawasan perumahan Desa Palma pada 22 Disember tahun lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.08 pagi itu, polis menerima laporan daripada orang awam mengenai satu objek yang meletup serta penemuan paku bertaburan di kawasan berkenaan.
Tertuduh kemudiannya didakwa atas lima pertuduhan berkaitan kes tersebut. Bagaimanapun, dia mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di Hospital Tuanku Ja’afar pada Januari lalu kerana ketika itu sedang menerima rawatan.
Keadaan kesihatannya dilaporkan kritikal sebelum dipindahkan ke HKL untuk rawatan lanjut sehingga disahkan meninggal dunia.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L