Elak Spekulasi Penentuan 1 Syawal, Tunggu Pengumuman Rasmi

IPOH – Umat Islam dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi awal berhubung tarikh 1 Syawal, sebaliknya menunggu pengumuman rasmi daripada pihak berautoriti.

Jabatan Mufti Negeri Perak dalam kenyataan hari ini memaklumkan, masyarakat perlu bertenang dan memahami perbezaan antara jangkaan takwim dan keputusan rasmi adalah perkara yang boleh berlaku dalam disiplin ilmu falak.

Menurut kenyataan tersebut, takwim Hijrah yang diedarkan kepada umum disusun berdasarkan kaedah hisab sebagai panduan perancangan tahunan.

Namun, penetapan rasmi 1 Syawal adalah tertakluk kepada proses rukyah (cerapan hilal) pada petang 29 Ramadan serta pengisytiharan oleh pihak berautoriti.

Malaysia mengamalkan pendekatan rukyah dan hisab secara bersepadu. Secara prinsip falak, apabila hilal berada di atas ufuk ketika matahari terbenam, ia mempunyai potensi untuk dilihat.

Bagaimanapun, tahap kebolehlihatan hilal bergantung kepada beberapa parameter teknikal seperti ketinggian (altitud) dan jarak lengkung antara bulan dan matahari (elongasi).

Hilal yang terlalu rendah atau terlalu hampir dengan ufuk lazimnya mempunyai potensi kenampakan yang lemah walaupun secara teori ia telah wujud. Ini bermakna kewujudan hilal di atas ufuk tidak semestinya menjamin ia dapat dilihat secara fizikal.

Selain faktor teknikal, keadaan cuaca seperti awan tebal, jerebu dan gangguan atmosfera turut menjadi cabaran utama dalam proses cerapan.

Walaupun data hisab menunjukkan hilal berpotensi kelihatan, faktor persekitaran boleh menghalang penampakan sebenar.

Dalam keadaan atmosfera yang sangat baik, yang jarang berlaku di Malaysia, hilal kadangkala berjaya dicerap walaupun tidak memenuhi kriteria biasa.

Justeru, keputusan penetapan awal bulan bukan hanya bergantung kepada kiraan matematik semata-mata, tetapi turut mengambil kira realiti cerapan di lapangan, proses pengesahan dan pengisytiharan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Menurut jabatan itu lagi, parameter kedudukan hilal adalah berbeza setiap tahun.

Pada tahun ini, kedudukan hilal Syawal didapati lebih rendah dan lebih sukar dicerap berbanding tahun 2022, menjadikan tahap kebolehlihatannya secara teknikal lebih mencabar.

Namun begitu, keputusan muktamad tetap bergantung kepada hasil cerapan sebenar dan pengumuman rasmi.

Sehubungan itu, masyarakat digalakkan membuat persiapan Aidilfitri secara terancang dan tidak terlalu bergantung kepada jangkaan awal bagi mengelakkan sebarang kesulitan di saat akhir.

Terdahulu, tular di media sosial dakwaan 1 Syawal mungkin jatuh pada hari Jumaat, berbanding jangkaan Sabtu sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan masyarakat.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *