Adam Corrie belajar puasa sejak usia 11 tahun

PETALING JAYA: Biarpun sudah hampir dua dekad memeluk Islam, pelakon yang sinonim dengan watak antagonis, Adam Corrie masih mengenang pengalaman pertama berpuasa pada Ramadan ketika dia belum melafaz dua kalimah syahadah.

Adam Corrie atau nama penuh, Adam Corrie Lee, Abdullah, 57, berkata dia mula berpuasa seawal usia 11 tahun apabila melihat rakan sebaya mampu melakukan ibadat itu.

“Apabila saya tengok kawan-kawan yang seumur dengan saya boleh berpuasa, saya terfikir, kalau mereka boleh tahan lapar dan dahaga, kenapa saya tidak boleh? Saya mesti boleh juga. Jadi, saya cuba berpuasa sedikit demi sedikit.

“Pada awalnya, saya mula puasa sehari penuh. Kemudian tiga hari dan akhirnya berjaya berpuasa selama seminggu. Itulah tempoh paling lama saya berpuasa ketika itu… Alhamdulillah,” katanya ditemui pada majlis pelancaran drama vertikal Pan Mee di sini, baru-baru ini.

Ditanya sama ada hasrat berpuasa diketahui ibu bapanya, ketika itu, Adam berkata, pada awalnya dia tidak berani memaklumkan kepada ibu kerana bimbang dimarahi.

“Mula-mula saya tidak berani beritahu keluarga sebab kami bukan Islam. Jadi, saya takut, emak marah. Tetapi, apabila saya betul-betul hendak cuba berpuasa selama seminggu. saya beritahu emak.

“Emak bertanya kenapa saya hendak berpuasa. Saya cakap sebab kawan lain semua berpuasa pada Ramadan. Jadi, saya rasa tidak seronok hendak makan atau minum depan mereka.

“Alhamdulillah, emak boleh terima dan faham situasi saya,” katanya.

Bintang KL Gangster 2 itu mendedahkan, sepanjang tempoh dia cuba berpuasa, dia tidak pernah ‘mencuri makan’, sebaliknya, berpuasa dengan bersungguh-sungguh.

“Kalau saya berpuasa, saya puasa betul-betul. Bukan sekadar tidak makan di depan kawan, tetapi di belakang mereka pun saya tidak makan atau minum. Saya mahu belajar bagaimana mereka boleh bertahan.

“Jadi, apabila saya sudah peluk Islam, saya fikir ibadat puasa bukanlah sesuatu yang sukar. Saya sudah biasa melakukannya sejak kecil.

“Alhamdulillah, sejak hari pertama saya ucap syahadah sehingga hari ini, dengan izin Allah, puasa saya penuh,” katanya.

Adam mengakui memandang serius ibadat puasa kerana berasakan dirinya sentiasa diperhatikan Allah.

“Saya memang serius soal puasa. Apabila kita berpuasa dengan niat kerana Allah, maksudnya, saya bukan takut orang nampak saya makan. Tetapi, saya takut Allah nampak saya makan. Kalau orang nampak saya tidak risau,” katanya.

Adam percaya apabila seseorang hamba meminta izin dan pertolongan Allah, Dia akan mempermudahkan semua urusan.

Mengimbas pengalaman mencabar, Adam mengaku pernah pengsan ketika menjalani penggambaran di Pulau Pangkor pada Ramadan, beberapa tahun lalu.

“Saya ada babak aksi dari jam 11 pagi hingga 6 petang di bawah panas terik ketika berpuasa. Saya pengsan bukan sebab puasa. Sebaliknya, saya perlu berlawan dengan empat orang untuk babak itu.

“Selepas berbuka, saya tidak makan banyak dan sempat beritahu pengarah yang saya mahu berehat seketika, sebelum tiba-tiba saya pengsan.

“Doktor beritahu saya dehidrasi teruk. Saya dimasukkan ke hospital selama empat hari . Saya tidak boleh berpuasa kerana perlu ambil ubat. Itu yang saya paling kesalkan kerana terpaksa tinggalkan puasa selama lima hari.

“Sejak kejadian itu, saya buat keputusan untuk tidak lagi ambil tawaran kerja sepanjang Ramadan. Walaupun hanya babak dialog di dalam pejabat atau lokasi tertutup, saya tetap tolak,” katanya.

Berkongsi detik paling dinantikan setiap kali Ramadan tiba, Adam yang menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Selangor pada 2017 menerusi kategori Saudara Kita mengakui solat sunat Tarawih adalah ‘hadiah’ paling bermakna buat dirinya.

“Saya paling suka apabila dapat menunaikan solat Tarawih. Allah izinkan kita bertemu Ramadan dan diberi peluang menunaikan Tarawih yang hanya datang setahun sekali. Jadi, kenapa kita mahu bazirkannya?

“Bagi saya, apabila kita tinggalkan terawih, ibarat Allah sudah beri satu hadiah, tetapi kita tak mahu ambil. Kalau manusia beri hadiah, mungkin kita boleh tolak atas sebab tertentu. Namun, ini hadiah daripada Allah dan kita hanya berpeluang merasainya setahun sekali,” ujarnya. – BERITA HARIAN

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *