Pelarasan gaji baharu untuk 1.6 juta penjawat awam diketahui hari ini

Cuti Gantian 1 atau 2 Hari Susulan Thaipusam dan Hari Wilayah Bertembung

KUALA LUMPUR – Pertindihan sambutan Thaipusam dan Hari Wilayah Persekutuan yang jatuh pada Ahad, 1 Februari ini, membawa implikasi berbeza kepada penjawat awam dan pekerja sektor swasta di Wilayah Persekutuan.

Penjawat awam yang berkhidmat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan hanya akan menikmati satu hari kelepasan am gantian, manakala pekerja sektor swasta di Kuala Lumpur dan Putrajaya layak menerima dua hari cuti gantian. Bagi sektor swasta di Labuan pula, hanya satu hari cuti gantian diberikan.

Perkara itu berdasarkan penjelasan berasingan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), menerusi kenyataan rasmi yang masih berkuat kuasa setakat ini.

Menurut JPA, penetapan cuti gantian bagi penjawat awam adalah selaras dengan Seksyen 3 Akta Hari Kelepasan 1951, yang memperuntukkan bahawa jika hari kelepasan am jatuh pada hari rehat mingguan, cuti gantian hendaklah diberikan pada hari berikutnya.

Sehubungan itu, walaupun Hari Wilayah Persekutuan dan Thaipusam disambut pada tarikh sama, penjawat awam di Kuala Lumpur dan Putrajaya hanya akan menikmati satu hari kelepasan gantian pada Isnin, 2 Februari 2026. Perkara sama turut terpakai kepada penjawat awam yang bertugas di Wilayah Persekutuan Labuan.

JPA turut menegaskan bahawa ketetapan cuti gantian yang diumumkan oleh JTKSM khusus untuk pekerja sektor swasta tidak terpakai kepada perkhidmatan awam.

Sementara itu, JTKSM menjelaskan bahawa kedua-dua perayaan tersebut telah diwartakan sebagai hari kelepasan am Persekutuan bagi tahun 2026. Bagi sektor swasta, Hari Wilayah Persekutuan merupakan cuti wajib di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan serta tidak boleh digantikan dengan cuti lain.

Memandangkan Hari Wilayah Persekutuan jatuh pada Ahad, majikan yang menetapkan Ahad sebagai hari rehat mingguan diwajibkan memberikan cuti gantian pada hari bekerja berikutnya, iaitu Isnin.

Bagi majikan yang memilih Thaipusam sebagai salah satu daripada baki enam hari kelepasan am pilihan di bawah Akta Kerja 1955, cuti gantian tambahan perlu diberikan pada hari bekerja seterusnya, iaitu Selasa, berikutan pertindihan tarikh kedua-dua cuti berkenaan.

JTKSM turut memaklumkan bahawa majikan boleh menggantikan cuti tersebut dengan mana-mana hari lain sebagai cuti berbayar tertakluk kepada persetujuan pekerja. Pekerja yang diarahkan bekerja pada hari kelepasan am pula berhak menerima bayaran gaji mengikut kadar yang ditetapkan undang-undang.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *