KINABATANGAN – Suasana demokrasi kembali mewarnai Kinabatangan apabila seramai 48,526 pengundi Parlimen Kinabatangan dan 13,703 pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dijangka keluar mengundi esok bagi memilih wakil rakyat baharu masing-masing.
Sebanyak 36 pusat mengundi melibatkan 117 saluran akan dibuka bermula jam 7.30 pagi. Waktu penutupan bagaimanapun berbeza mengikut lokasi, dengan sebahagian pusat mengundi di kawasan pedalaman ditutup lebih awal, seawal jam 12 tengah hari, manakala pusat terakhir akan menamatkan proses pengundian pada jam 5.30 petang.
Antara pusat yang ditutup awal termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Inarad dan SK Sri Ganda, diikuti beberapa sekolah lain yang akan ditutup secara berperingkat antara jam 1 tengah hari hingga 5 petang. SK Pulau Lubukan menjadi satu-satunya pusat yang menutup operasi pada jam 4 petang, manakala 11 pusat pengundian terakhir menamatkan proses pada jam 5.30 petang.
Selepas tamat pengundian, semua peti undi akan dibawa ke Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Sri Lamag. Parlimen Kinabatangan merangkumi tiga kawasan DUN iaitu Sukau, Lamag dan Kuamut.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini memaklumkan tahap penyertaan pengundi awal bagi kedua-dua PRK berkenaan mencecah 93 peratus, melibatkan 176 anggota polis yang telah menunaikan tanggungjawab mereka pada Selasa lalu.
Tempoh berkempen pula memasuki hari terakhir hari ini dan dijadual berakhir tepat jam 11.59 malam.
PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar dari Barisan Nasional (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan calon Bebas, Goldam Hamid. Bagi DUN Lamag pula, pertembungan satu lawan satu berlaku antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).
Kesemua calon dijadualkan mengundi esok di pusat pengundian masing-masing, dengan Mohd Kurniawan Naim mengundi di SK Bilit, Saddi di SK Batu Puteh, Goldam di SK Pekan Tongod, Mohd Ismail di SK Bukit Garam II manakala Mazliwati di SK Buang Sayang.
PRK ini diadakan susulan pemergian penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang meninggal dunia pada 5 Disember tahun lalu pada usia 66 tahun.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Bung Moktar mengekalkan kerusi Parlimen Kinabatangan dengan majoriti 4,330 undi, menewaskan Mazliwati. Beliau juga memenangi kerusi DUN Lamag pada Pilihan Raya Negeri Sabah November lalu dengan majoriti tipis 153 undi dalam persaingan lima penjuru.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca cerah pada sebelah pagi esok, namun ribut petir berkemungkinan berlaku pada waktu petang sebelum hujan dijangka turun pada sebelah malam.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L