KUALA LUMPUR – Kerajaan Selangor akan mempersembahkan perincian keputusan berkaitan isu penternakan babi di Kuala Langat kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Isnin ini.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan, Exco Infrastruktur Pertanian Negeri, Datuk Izham Hashim telah diperkenan menghadap baginda bagi menyembah maklum keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) berhubung perkara berkenaan.
Menurut beliau, MMKN sebelum ini memutuskan supaya syarat pengoperasian industri penternakan babi di Selangor diperketatkan dengan penekanan kepada pengurusan sisa yang lebih bertanggungjawab, khususnya bagi mengelakkan kesan negatif terhadap sistem saliran.
“Keputusan ini dibuat bagi memastikan operasi industri tersebut tidak menjejaskan alam sekitar serta kesihatan awam,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan titah Sultan Sharafuddin yang menzahirkan rasa dukacita serta ketidaksetujuan terhadap perancangan operasi penternakan babi di kawasan Tanjong Sepat, Kuala Langat yang dijadual bermula tahun ini sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.
Amirudin berkata, pihak kerajaan negeri menjunjung kasih atas keprihatinan baginda dan menjelaskan keputusan MMKN diambil selepas meneliti pelbagai aspek, termasuk pandangan agensi teknikal, bagi memuktamadkan isu yang telah berlarutan lebih sedekad.
“Mewakili kerajaan negeri, saya menjunjung tinggi kecaknaan, nasihat serta pedoman Tuanku Sultan. Keutamaan kami adalah menjaga sensitiviti masyarakat, di samping memelihara kesihatan komuniti, alam sekitar dan sistem saliran,” katanya.
Beliau menambah, langkah berkenaan juga bertujuan mengelakkan pencemaran bau serta memastikan industri terbabit dapat beroperasi secara lebih selamat tanpa memberi kesan sampingan kepada penduduk setempat.
Terdahulu, pada 8 Januari lalu, Izham mengumumkan sebanyak 11 syarat pematuhan diwajibkan sebelum sebarang permohonan lesen penternakan babi di Ladang Tumbuk, Kuala Langat diluluskan.
Langkah itu, menurut kerajaan negeri, diambil bagi menangani isu sensitif berkenaan secara berhemah dan menyeluruh, di samping memperketat kawalan ke arah penyelesaian jangka sederhana dan panjang yang lebih sistematik.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L