Penduduk Kg Bintang Fail Saman Terhadap Projek ECRL, Dakwa Banjir Kilat Jejas Kehidupan Sejak 2020

SETIU, TERENGGANU – Seramai 33 penduduk Kampung Bintang, Bandar Permaisuri, Setiu memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu terhadap dua pihak berkaitan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), dengan mendakwa kerja pembinaan projek mega itu menyebabkan kejadian banjir kilat berulang serta menjejaskan keselamatan, harta benda dan kualiti hidup mereka.

Perkara itu didedahkan dalam sidang media oleh Tetuan Irmohizam Rosley & Nik Adli, firma guaman yang mewakili penduduk Kampung Bintang, hari ini.

Pada sidang media itu turut dihadiri wakil penduduk yang terjejas bagi menjelaskan secara terperinci latar belakang kes, penderitaan dialami mereka serta perjalanan kes di mahkamah sehingga kini.

Menurut peguam bagi pihak penduduk, Lt. Kol. Bersekutu (PA) Nik Saiful Adli Burhan dan Mej. Bersekutu (PA) Che Muhammad Redzuan Jihad, sebelum kerja pembinaan ECRL bermula sekitar tahun 2020, Kampung Bintang adalag sebuah perkampungan yang aman, selamat dan bebas dari masalah banjir kilat.

Katanya, selama berpuluh tahun, penduduk kampung tidak pernah berdepan kejadian banjir serius, malah sistem saliran semula jadi di kawasan itu berfungsi dengan baik.

“Jalan kampung sedia ada menjadi laluan utama penduduk untuk ke bandar, sekolah, tempat kerja serta hospital, selain menyokong aktiviti ekonomi setempat seperti pertanian dan penternakan yang menjadi sumber sara hidup sebahagian besar penduduk.

“Bagaimanapun, keadaan berubah secara mendadak selepas kerja pembinaan ECRL dijalankan berhampiran kawasan perumahan mereka,” katanya dalam kenyataan bersama, hari ini.

Jelas peguam, penduduk mendakwa, penutupan jalan sedia ada, penambakan tanah serta kegagalan pihak berkenaan menyediakan sistem saliran yang mencukupi telah mengganggu aliran air hujan di kawasan berkenaan.

Akibatnya, kata peguam itu lagi, setiap kali hujan, Kampung Bintang akan dilanda banjir kilat dengan air naik secara mendadak sehingga memasuki rumah dan menenggelamkan kawasan perkampungan.

Sementara itu, penduduk mendakwa kejadian itu berlaku berulang kali dan semakin buruk dari semasa ke semasa. Malah, banjir kilat yang berlaku menyebabkan pelbagai kesusahan kepada penduduk.

“Antara kerugian dialami mereka termasuk kerosakan harta benda seperti perabot, peralatan elektrik serta kenderaan akibat ditenggelami air.

“Tanaman pertanian pula musnah berulang kali, manakala haiwan ternakan seperti lembu, kambing dan ayam mati atau dijangkiti penyakit selepas kejadian banjir,” kata mereka.

Beliau menjelaskan, keadaan jalan kampung yang menjadi mendap, berlubang dan berlumpur turut menyukarkan pergerakan harian penduduk, malah kanak-kanak menghadapi kesukaran untuk ke sekolah, manakala penduduk dewasa berdepan risiko keselamatan ketika ke tempat kerja atau mendapatkan rawatan kesihatan.

Lebih membebankan, kata penduduk lagi, laluan utama keluar masuk kampung ke bandar telah terputus sepenuhnya, dengan penduduk terpaksa menggunakan laluan alternatif sejauh kira-kira 1.2 kilometer yang didakwa sempit, gelap, tidak diselenggara dengan baik serta berbahaya terutama pada waktu malam dan ketika hujan.

Mengenai keputusan penduduk mengambil tindakan undang-undang, Nik Saiful Adli dan Che Muhammad Redzuan menjelaskan, penduduk tidak terus membawa perkara ini ke mahkamah, sebaliknya pelbagai aduan dan permohonan telah dibuat kepada pihak berkaitan.

Kata mereka, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Bintang telah mengemukakan aduan rasmi kepada defendan pertama, iaitu syarikat di bawah Menteri Kewangan (Diperbadankan) yang merupakan pemilik dan pemegang projek ECRL dengan memohon pembinaan ‘culvert’ sebagai penyelesaian sementara bagi mengurangkan risiko banjir.

Bagaimanapun, melalui surat bertarikh 21 Ogos 2024, defendan pertama memaklumkan, permohonan tersebut tidak dapat dipenuhi, walaupun dalam surat berkenaan pihak berkenaan mengakui punca banjir adalah akibat penutupan jalan dan penambakan tanah oleh Defendan Kedua iaitu syarikat pembinaan yang bertanggungjawab melaksanakan kerja pembinaan di lapangan, termasuk di kawasan Kampung Bintang, Setiu, Terengganu.

“Namun, penduduk mendakwa, tiada tindakan berkesan diambil bagi menyelesaikan masalah tersebut. Justeru, notis tuntutan dihantar kepada kedua-dua defendan melalui peguam terdahulu penduduk.

“Defendan Pertama menafikan liabiliti, manakala Defendan Kedua gagal memberikan sebarang maklum balas, melainkan hanya selepas semua usaha itu menemui jalan buntu, penduduk mengambil keputusan untuk mendapatkan keadilan melalui tindakan undang-undang.

Saman dan Penyata Tuntutan telah difailkan pada 13 Oktober 2025 di Mahkamah Tinggi di Kuala Terengganu melibatkan 33 penduduk Kampung Bintang sebagai Plaintif,” kata peguam yang mewakili penduduk.

Antara tuntutan utama dikemukakan termasuk perisytiharan bahawa kedua-dua defendan mempunyai kewajipan berjaga-jaga terhadap keselamatan penduduk, perisytiharan bahawa kerja-kerja pembinaan ECRL telah dilakukan secara cuai sehingga menyebabkan banjir serta tuntutan ganti rugi am, ganti rugi teruk dan pampasan atas kehilangan hak menikmati tanah dan kediaman secara selamat.

Plaintif, katanya, turut menuntut faedah, kos dan apa-apa relif lain yang difikirkan adil oleh mahkamah, yang mana setakat ini, Defendan Pertama diwakili Tetuan Hafiz Hud & Partners, dan Defendan Kedua diwakili Tetuan Firoz Julian.

“Penyataan Pembelaan Defendan Pertama telah diterima pada 29 November 2025, diikuti Penyataan Pembelaan Defendan Kedua pada 30 November 2025.

“Jawapan kepada Pembelaan bagi kedua-dua Defendan telah difailkan pada 4 Disember 2025 dan telah melalui dua kali pengurusan kes, dengan pengurusan kes seterusnya dijadualkan pada 21 Januari ini bagi memuktamadkan dokumen serta hala tuju perbicaraan.

“Mahkamah turut membenarkan mana-mana pihak memfailkan permohonan interlokutori sebelum tarikh berkenaan,” kata Nik Saiful Adli dan Che Muhammad Redzuan.

Kedua peguam bela itu menegaskan, penduduk Kampung Bintang tidak menentang pembangunan, sebaliknya menuntut agar pembangunan dilaksanakan secara bertanggungjawab, berperikemanusiaan dan tidak mengorbankan keselamatan serta kehidupan rakyat.

Mereka turut menyatakan harapan agar kerajaan dapat campur tangan bagi memulihkan keadaan berbahaya di Kampung Bintang serta menambah baik laluan penduduk supaya kehidupan mereka kembali seperti sebelum pembinaan projek ECRL dijalankan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *