Oleh: Abd. Ghaffar Daud

KOTA BHARU – Maahad Muhammadi Rantau Panjang (MMRP) terus mencipta kecemerlangan apabila lima warganya diumumkan penerima anugerah dalam Majlis Sambutan Hari Yayasan Islam Kelantan (YIK) 2025 yang diadakan di Dewan Dato’ Bentara Setia, Kompleks Kota Darul Naim, di sini.
Kejayaan ini membuktikan peranan besar sekolah tersebut dalam melahirkan pendidik serta pelajar cemerlang bawah pentadbiran YIK.
Anugerah Guru Cemerlang menjadi milik Muhammad Afifi Muhammad yang juga Setiausaha Unit Kecemerlangan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) MMRP.
Beliau turut mengajar subjek Nahu Soraf bagi peringkat Sijil Menengah Ugama (SMU) serta Arudh dan Qafiah bagi pelajar STAM, menjadikan dedikasinya antara aset penting kepada kecemerlangan akademik sekolah itu.
Dua pelajar MMRP, Ahmad Mukhlisin Ahmad Kamal dan Nur Aini Najihah Alias, turut mengharumkan nama sekolah apabila masing-masing memperoleh keputusan 9A dalam SPM 2024, sekali gus melayakkan mereka menerima Anugerah Pelajar Cemerlang SPM.

Turut menyerlah ialah dua pelajar yang menerima Anugerah Kokurikulum (Ko-Akademik), Wennorlie Mohd Noor mendapat pengiktirafan selepas menjuarai Syarahan Bahasa Arab bawah Majlis Ihtifal Ilmi Sekolah-Sekolah Menengah Agama Malaysia (MIISMAN) peringkat Kebangsaan 2024 serta meraih tempat keempat bagi tahun 2023 dan 2025.
Hanim Alia Abdul Razak menerima penghargaan selepas meraih tempat ketiga Syarahan Bahasa Arab MIISMAM peringkat Kebangsaan pada tahun 2024 dan sagu hati pada 2025.
Majlis penuh istiadat itu dirasmikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan turut hadir, Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan, Datuk Wan Roslan Wan Hamat; Pengarah YIK, Datuk Zulkifle Ab. Rahman; Lembaga Pengarah YIK, Ahli-Ahli Yang Berhormat, pegawai, guru serta pelajar.
Program penganugerahan kali ini merangkumi kategori Anugerah Pelajar Cemerlang Peperiksaan, Pencapaian 100 peratus Peperiksaan, Terbaik Peperiksaan, Terbaik Kokurikulum, Terbaik Kukurikulum, Pengurusan Terbaik Kewangan, Sekolah Terbaik Peperiksaan, Pelajar Mithali, Guru/Penolong Kanan Cemerlang, Pengetua Cemerlang, Sekolah Terbaik YIK serta Tokoh Pendidik YIK.
Kejayaan yang diraih warga MMRP ini bukan sahaja menampilkan kekuatan akademik dan kokurikulum sekolah tersebut, malah menjadi bukti kepada komitmen para guru serta kegigihan pelajar yang sentiasa berusaha mengharumkan nama institusi di peringkat negeri. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001