NAKHON PATHOM, THAILAND – Delegasi awal ASTAF bagi acara Sepaktakraw & Chinlone telah tiba hari ini di Nakhon Pathom diketuai oleh Technical Delegate (TD), Datuk Abdul Halim Kader (AHK) bersama beberapa kepimpinan kanan ASTAF.
Ketibaan rasmi keseluruhan pegawai pengadilan dan ITO akan menyusul pada Ahad, 7 Disember 2025, sebelum penganjuran SEA Games ke-33 bermula.
Sebelum berlepas ke Thailand, semua pegawai teknikal telah menerima taklimat protokol kerja, etika tugas serta SOP pengadilan melalui aplikasi WhatsApp komunikasi rasmi khas ASTAF.
Taklimat tersebut menyentuh aspek Do & Don’t sepanjang bertugas, etika komunikasi dengan pemain dan pegawai pasukan, prosedur teknikal sebelum dan selepas perlawanan serta standard pengadilan dan penyelarasan keputusan teknikal.
Langkah ini memastikan setiap pengadil hadir dalam keadaan fokus, konsisten dan bersedia sepenuhnya sebelum berada di gelanggang.
Semua pegawai teknikal telah diingatkan bahawa tugasan pengadilan berlangsung secara intensif hingga 20 Disember 2025, melibatkan jadual perlawanan padat dan keperluan mengekalkan fokus sepanjang kejohanan.
AHK menekankan bahawa kejayaan tugas teknikal bukan sekadar bergantung pada kemahiran pengadilan, tetapi juga kepada ketahanan fizikal dan kawalan emosi ketika membuat keputusan di gelanggang.
“Seorang pengadil mesti bersedia secara mental dan fizikal. Hanya minda yang tenang boleh membuat keputusan tepat,” pesan AHK.
Dalam memastikan kesejahteraan para pegawai, AHK turut menekankan kepentingan persiapan spiritual dan beliau turut memastikan penyediaan ruang ibadah yang sesuai disediakan di hotel penginapan rasmi serta venue pertandingan.
“Integriti datang dari hati. Hati yang bersih melahirkan keputusan yang adil,” tambah beliau.
Sementara itu, seorang pimpinan Malaysia International Technical Officials (ITO), Jais Abdul Karim mengucapkan setinggi penghormatan kepada AHK atas kepercayaan, bimbingan dan sokongan padu yang diberikan kepada mereka pentas SEA Games 2025, Nakhon Pathom, Thailand.
Katanya, kepercayaan itu bukan sekadar satu penghormatan, malah amanah besar untuk mengangkat martabat sepaktakraw Malaysia di persada Asia Tenggara.
“Kami akan memegang mandat ini dengan penuh disiplin, integriti, profesionalisme dan maruah negara. Tiada kompromi terhadap keadilan sukan, tiada ruang untuk kesilapan etika. Hanya yang terbaik untuk Malaysia dan dunia sepaktakraw!
“Terima kasih, Datuk Halim. Kepimpinan tuan membina peluang, mengangkat bakat dan menyatukan kami sebagai satu pasukan.
“Malaysia dihormati kerana integriti. Kami berdiri sebagai penjaga keadilan di gelanggang,” kata Jais.
Dilaporkan oleh ASTAF News Desk | SEA Games 2025 Thailand
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001