TERENGGANU – Sebagai usaha untuk memberi tambah nilai pembangunan belia setempat, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu (JBSNT) mengambil langkah proaktif melalui penganjuran program Youth Hub peringkat negeri Terengganu (Y-Hub Terengganu) yang dijadualkan berlangsung sepanjang November ini.
Menurut Pengarah JBSNT, Asmadi Mohamad, meletakkan sebanyak lima kerangka utama pengisian program yang mampu merapatkan jurang di kalangan belia negeri ini untuk turut menyertai sama ada sebahagian atau sepenuhnya program berkenaan.

Katanya, setiap program yang dianjurkan itu tiada sebarang bayaran dikenakan, yang meliputi bengkel keusahawanan, teknologi AI, kemahiran TVET, kebudayaan termasuk pembangunan sahsiah dan motivasi menjadi tambah nilai yang terbaik buat belia-belia setempat untuk berada di landasan yang tepat untuk mengorak langkah seterusnya bagi membina generasi yang lebih berdaya saing di masa hadapan.
“Kami sebagai pemegang taruh utama pembangunan belia setempat tidak melihat penganjuran ini semata-mata untuk mengisi masa terluang oleh mana-mana pihak, di mana kami mempunyai misi mahupun tanggungjawab besar memperkukuhkan Indeks Belia Malaysia yang masih sederhana ketika ini.
“Hendak atau tidak kita terpaksa akui di mana mungkin pelbagai faktor semasa mahupun persekitaran yang menyumbang situasi ini. Oleh itu, kami perlu memperkasakan setiap program bagi merapatkan jurang yang ada ini, sekali gus melahirkan generasi belia yang lebih berkualiti,” katanya.
Beliau berkata, mengikut laporan Indeks Belia Malaysia(IBM) bagi tahun 2023 adalah pada 74.39 mata, yang masih diukur pada tahap sederhana, manakala bagi tahun 2024 dijangkakan diumum dalam masa terdekat.
Indeks ini, katanya, disediakan oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia sebagai penanda aras bagi memantau perkembangan kualiti dan kesejahteraan hidup belia Malaysia.
“Oleh itu, melalui program yang sedang berlangsung ini, JBSNT optimis mampu memberi penanda aras yang lebih bagi penilaian itu,” katanya.
Selain itu, kata Asmadi, penganjuran itu merupakan serampang dua mata JBSNT sebagai dasar pintu terbuka khususnya di peringkat belia bagi memanfaatkan semaksimum mungkin setiap fasiliti mahupun kemudahan disediakan jabatan itu.
Sehingga kini, program Y-Hub Terengganu yang bermula sejak awal November berjaya menarik penyertaan seramai 787 keseluruhan dan dijangkakan jumlah penyertaan kian meningkat setelah musim cuti persekolahan akhir tahun bermula tidak lama lagi.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
