Linda Rafar buat pusingan ‘U’

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan anggota kumpulan Elite, Linda Rafar akhirnya mengesahkan beliau akan kekal bersama kumpulan berkenaan selepas menerima sokongan padu daripada peminat, rakan seperjuangan serta dipujuk seniornya dalam industri, Datuk Norman Abdul Halim.

Linda atau nama sebenar, Azlinda Abdul Rafar, 47, berkata keputusan itu dibuat selepas dirinya kembali bertenang dan menilai semula nasihat ramai pihak khususnya anggota KRU berkenaan yang sudah dianggap seperti abang sendiri sejak lebih dua dekad lalu.

“Terima kasih Allah SWT dan semua yang mendoakan Linda terus kekal bersama Elite.

“Pada mereka yang belum tahu, perkenalan Linda dengan Abang Norman sejak 1995. Hampir 30 tahun. Jadi bukan mudah untuk saya buat keputusan terburu-buru. Puas dan penat juga Abang Long nak memujuk,” tulisnya menerusi Instagram (IG).

Linda turut mengimbas kembali hubungan akrabnya dengan Norman yang sentiasa menjadi tempat rujukan sejak zaman awal pembabitannya dalam Elite.

“Sejak umur saya 16, 17 tahun lagi, kalau ada masalah, dialah yang berjaya memujuk. Maklumlah, dalam Elite saya paling muda dan paling manja.

“Sebab itu sampai sekarang tak hilang naluri seorang yang sensitif, cepat terasa… tapi sangat mudah memaafkan sesiapa sahaja,” katanya.

Pada masa sama, Linda mengucapkan terima kasih kepada rakan seperjuangan dalam Elite serta peminat yang tidak putus mendoakan mereka menjelang konsert GenKRU The Finale: One More Time di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada 22 November ini.

“Tolong doakan yang baik-baik untuk semua yang akan menjayakan konsert GenKRU. Insya-Allah, dengan izin Allah SWT, kita jumpa pada 22/11/2025,” tulisnya.

Sementara itu, Norman menerusi hantaran di IG turut mengesahkan perkembangan positif itu.

“Linda kembali. Puas saya pujuk dia. Alhamdulillah, barisan lengkap anggota Elite di konsert GenKRU Sabtu depan,” tulisnya.

Terdahulu, Linda mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat apabila berkongsi hantaran di Threads seolah-olah memberi bayangan ingin mengundurkan diri daripada Elite yang turut dibarisi Watie Sadali, Abby Abadi, Azza Zawari dan Sasha Saidin.

Beliau sebelum ini dilapor berdepan tekanan emosi dan mental susulan kecaman terhadap pemakaiannya di Konsert Elite Live ’25 di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), September lalu. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *