Hampir 3 tahun pentadbiran Kerajaan MADANI, ada beberapa reformasi yang MCW anggap benar-benar game-changing

Oleh: Jais Abdul Karim

YANG pertama ialah langkah ke arah institusionalisasi integriti, bukan lagi bergantung kepada individu. Contohnya, Akta Perolehan Kerajaan, walaupun belum 100 peratus sempurna, akhirnya meletakkan proses perolehan di dalam kerangka undang-undang yang lebih ketat, bukan hanya pekeliling. Ini kritikal kerana 70 peratus isu rasuah besar di Malaysia berkait langsung dengan perolehan dan kontrak kerajaan.

Yang kedua ialah pendigitalan proses kerajaan. Bila data disatukan, bila permohonan dibuat secara digital, bila kelulusan tidak lagi bergantung kepada pegawai tertentu, ruang runding belakang meja akan berkurang. Ini selari dengan prinsip reduce human discretion, increase system transparency.

Ketiga, MCW juga melihat keberanian kerajaan membuka ruang wacana tentang reformasi institusi. Contohnya, mengkaji kedudukan SPRM, AGC dan GLC. Walaupun reformasi ini belum disempurnakan, sekurang-kurangnya ia sudah berada dalam kerangka perbincangan polisi negara.

Diringkaskan, kerangka undang-undang, pendigitalan dan budaya keterbukaan institusi, ini tiga perkara paling signifikan setakat ini. MCW melihat ada tiga bottleneck utama yang memperlahankan reformasi integriti di Malaysia.

Pertama, budaya birokrasi lama yang sangat tebal. Sistem kita berpuluh tahun dibina dengan mindset compliance-based, bukan outcome-based. Bila nak buat perubahan, ada kelompok pertengahan iaitu pegawai kanan, ketua jabatan, yang lebih selesa dengan status quo.

Kedua, ketakutan membuat keputusan. Banyak pegawai kerajaan menjadi terlalu berhati-hati kerana bimbang dikatakan melakukan kesalahan. Ini menyebabkan “reform hesitation”. Sebenarnya, integriti bukan bermakna kita takut membuat keputusan — ia bermakna keputusan dibuat despkongan proses yang betul.

Ketiga, fragmentasi institusi. Banyak reformasi memerlukan keselarasan antara KSN, JPA, AGC, Kementerian, agensi teknikal dan SPRM. Bila koordinasi tidak tuntas, ia melambatkan implementasi dasar.

Jadi, bagi MCW cabarannya bukan sekadar “slow government”, tetapi legacy culture yang memerlukan political will yang konsisten dan sokongan masyarakat.

Bagaimana inisiatif kerajaan, seperti Akta Perolehan, digitalisasi & SPRM, memberi impak langsung kepada pengurangan rasuah di lapangan? Ini persoalan yang rakyat selalu tanya, apa manfaat kepada mereka?

Jawapan mudah: bila proses ketat, kos rasuah naik; bila semuanya digital, ruang rundingan gelap berkurang.

Contohnya: Akta Perolehan Kerajaan akan mewajibkan proses tender yang lebih jelas, pendedahan kontrak dan penguatkuasaan undang-undang. Selama ini, banyak “leakages” berlaku kerana sistem perolehan terlalu fleksibel, banyak pengecualian, banyak direct negotiation.

Pendigitalan – bila lesen, permit, bantuan, kelulusan dibuat secara automatik, “peluang membeli jalan pintas” semakin mengecil. Digitalisation is the biggest anti-corruption weapon.

SPRM lebih proaktif, kita lihat lebih banyak siasatan projek mega dan kes perolehan. Tetapi yang paling penting ialah deterrent effect, pegawai akan berfikir dua kali.

Namun, MCW selalu tekankan: impak reformasi bukan dalam tempoh dua atau tiga tahun, tetapi tiga hingga lima tahun, apabila sistem matang dan budaya berubah.

Bagaimana MCW melihat hubungan kerajaan–SPRM–agensi penguatkuasaan dalam memastikan integriti? Sudah memadai atau perlu lebih kuasa bebas?

Pertama sekali, kita harus jujur. Malaysia perlukan keseimbangan antara kuasa bebas dan akauntabiliti institusi. SPRM sudah mengorak langkah penting dari segi kebebasan operasi. Tetapi structural independence masih perlu diperhalusi.

Sebagai contoh: Laporan SPRM kepada Parlimen perlu diperkukuh, pelantikan Ketua Pesuruhjaya perlu melalui Jawatankuasa Khas Parlimen dan kuasa pendakwaan harus dilihat bebas dari AGC.

Ini bukan bermaksud pemerintah mengongkong, tetapi bagi memastikan apa juga penyiasatan tidak membawa persepsi pilih kasih.

Selain itu, kerjasama antara polis, SPRM dan agensi teknikal perlu lebih real time, bukan silo. Rasionalnya mudah: rasuah hari ini sangat teknikal, cyber fraud, procurement layering, shell companies, ia memerlukan joint taskforce yang mantap.

Kesimpulannya, banyak kemajuan, tetapi masih ada ruang untuk memperkukuh kuasa bebas SPRM secara institusi. Isu ‘elite capture’ dan kartel politik–perniagaan. Apa langkah paling praktikal untuk memutuskan rangkaian ini?

Isu ini sangat sensitif, tetapi amat penting. Elite capture berlaku apabila keputusan kerajaan, perolehan atau dasar awam dimanipulasi oleh kumpulan yang mempunyai kuasa politik dan kekayaan.

Untuk memutuskan rangkaian ini, langkah paling realistik ialah:

1.  Transparency by default. Dedahkan kontrak, senarai benefisiari, pemilikan syarikat. Bila data terbuka, kartel sukar bersembunyi.

2.  Political financing law. Inilah akar masalah. Selagi dana politik tidak dikawal, maka peniaga akan membeli pengaruh, dan ahli politik akan mencari sponsor.

3.  GLC governance reform. Lantikan mesti berasaskan merit, bukan patronage. GLC ialah nadi ekonomi negara, dan di situlah banyak risiko elite capture.

4.  Whistleblower protection 2.0. Kita kena berani melindungi pemberi maklumat. Tanpa mereka, kartel tidak akan pecah.

Tanpa empat blok ini, kita hanya memadam api di permukaan, bukan memadam sumber kebakaran.

Kes-kes besar yang sedang berjalan memberi gambaran bercampur. Apakah indikator objektif untuk meyakinkan rakyat bahawa reformasi integriti benar-benar berlaku?

MCW selalu tekankan bahawa naratif integriti tidak boleh berasaskan persepsi, tetapi berdasarkan indikator objektif.

Tiga indikator paling jelas ialah;

1. Reduction in leakage: Penurunan jumlah “projek sakit”, lebihan kos, dan ketirisan dalam laporan audit negara. Jika 2025–2026 menunjukkan peningkatan disiplin perbelanjaan, itu tanda reformasi benar.

2. Enforcement consistency: Apabila kes besar melibatkan individu berpengaruh tetap didakwa, itu menunjukkan keberanian institusi. Undang-undang mesti memihak kepada bukti, bukan taraf.

3. Service delivery improvement: Rakyat harus merasa perubahan iaitu lesen lebih cepat, tender lebih telus, bantuan lebih near-real-time, kurang kebergantungan kepada ‘orang dalam’.

Reformasi yang berjaya bukan bila kita mengumumkan undang-undang baru, tetapi bila rakyat merasakan kelancarannya setiap hari. Apakah three big moves yang wajib dilakukan kerajaan Madani dalam 12 bulan akan datang?

MCW mencadangkan tiga gerakan besar untuk memastikan reformasi integriti tidak terkandas iaitu pertama, menubuhkan National RCI on Corruption Crisis.

Malaysia perlukan satu Royal Commission of Inquiry untuk memetakan punca rasuah secara struktur – kartel, sistem perolehan, politik wang, GLC, dan budaya kerja. RCI ini akan menjadi blueprint 10–20 tahun negara.

Kedua, Reformasi Perkhidmatan Awam 4.0

Transformasi birokrasi seperti pemisahan kuasa polisi dan pelaksanaan, kenaikan pangkat berasaskan merit, pengurangan discretionary power, intensif kepada pegawai berintegriti. Ini akan meratakan semula ekosistem tadbir urus negara.

Ketiga, Integriti Digital & Real-Time Transparency Portal.

Kerajaan perlu melaksanakan portal terbuka seperti senarai kontrak dan benefisiari, status projek kerajaan, dashboards perbelanjaan kementerian.

Bila data terbuka, rakyat menjadi pengawas negara secara automatik. Harapan MCW mudah, kita mahu reformasi yang tidak bermusim, kita mahu sistem yang membuatkan rasuah itu susah, bukan senang dan tahun-tahun akan datang mesti menyaksikan keberanian politik, institusi dan rakyat untuk berubah.

Integriti bukan slogan; integriti adalah keputusan-keputusan sukar yang kita buat setiap hari.

Jika kerajaan dan rakyat berjalan seiring, Malaysia boleh kembali menjadi negara yang dihormati kerana kejujurannya, bukan hanya kerana kata-katanya. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *