Belanjawan 2026: ‘Belanjawan Bela Rakyat’

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof menyifatkan Belanjawan 2026 sebagai mencabar, tetapi berpaksikan semangat Madani dengan memberi keutamaan kepada rakyat, ketelusan tadbir urus dan reformasi institusi negara.

Beliau berkata, dengan jumlah perbelanjaan RM470 bilion dan unjuran hasil RM343.1 bilion, kerajaan berdepan cabaran besar mengurus defisit fiskal.

Namun, katanya, kerajaan memilih untuk mengekalkan dasar fiskal berhemat tanpa menambah beban kepada rakyat melalui cukai baharu.

“Kerajaan Madani memilih untuk memperkukuh tadbir urus dan ketelusan, bukannya membebankan rakyat dengan peningkatan cukai baharu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut Dr. Mujahid, langkah kerajaan dalam memperkukuh hasil negara tertumpu kepada penguatkuasaan cukai sedia ada, membanteras ketirisan serta menghapuskan jaringan kartel yang merugikan negara.

Melalui strategi itu, katanya, kerajaan berjaya menjimatkan RM15.5 bilion setahun, suatu kejayaan penting dalam memastikan setiap sen wang rakyat diurus dengan penuh amanah.

Beliau turut menegaskan, sasaran kerajaan untuk mengawal defisit fiskal pada kadar 3.5 peratus menjelang 2026, disertai unjuran pertumbuhan KDNK antara 4.0 hingga 4.5 peratus, menunjukkan asas ekonomi negara kekal kukuh meskipun berdepan ketidaktentuan global termasuk tarif perdagangan baharu oleh Amerika Syarikat.

Dr. Mujahid juga menjelaskan, Belanjawan 2026 memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi baharu dan tenaga baharu sebagai enjin pertumbuhan masa depan, seiring dengan hala tuju Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang menekankan keseimbangan antara kebajikan rakyat dan kemakmuran ekonomi.

Antara inisiatif utama yang diumumkan termasuk peruntukan RM13 bilion bagi meneruskan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Subsidi BUDI95 diperluas kepada pemandu e-hailing dan pemilik perahu, bagi membantu golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

Tambahan RM700 juta bagi memperkukuh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), selepas kejayaan penjimatan RM15.5 bilion melalui usaha membanteras ketirisan.

Pembangunan luar bandar diteruskan dengan pembinaan jalan baharu, klinik desa dan projek tebatan banjir.

Kawalan semula pengecualian cukai berlebihan di Langkawi dan Labuan bagi menjamin keadilan fiskal.

Digital MADANI: pembinaan Kiosk MADANI di setiap negeri serta peluasan penggunaan MyDigital ID kepada 15 juta rakyat.

Ekonomi desa: peruntukan RM1 bilion bagi memperkasakan ekonomi kampung dengan penglibatan aktif anak muda.

Tarikan pelaburan asing: pengenalan ‘Investor Pass’ dan ‘Status ABE’ bagi mempercepat kemasukan pelabur berkualiti.

Kata beliau lagi, Belanjawan 2026 turut menekankan agenda reformasi sistem dan tadbir urus bagi memperkukuh kepercayaan terhadap institusi negara.

“Kerajaan kekal komited terhadap pelaksanaan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) dan pendigitalan perkhidmatan kerajaan, sebagai langkah mencegah ketirisan serta meningkatkan kecekapan.

“Selain itu, usaha memisahkan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya akan diteruskan bagi memastikan sistem keadilan negara bebas dan diyakini rakyat.

“Langkah ini amat penting bagi memulihkan imej Malaysia selepas pelbagai kes rasuah berprofil tinggi seperti 1MDB,” katanya.

Di peringkat Parlimen, institusi legislatif turut diperkukuh dengan peruntukan RM220 juta kepada Jawatankuasa Pilihan Khas, bagi memperkukuh mekanisme semak dan imbang sebagai asas kepada demokrasi matang.

Menurut Dr Mujahid, Belanjawan 2026 dirangka dalam suasana ekonomi dunia yang perlahan serta geopolitik yang tidak menentu.

Namun, semangat dan falsafah MADANI kekal menjadi panduan utama kerajaan dalam mengurus ketidaktentuan ini dengan berpaksikan prinsip ihsan, kebertanggungjawaban dan keadilan sosial.

Beliau turut menyatakan keyakinannya terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berpengalaman dan berwawasan untuk memastikan belanjawan kali ini benar-benar membela rakyat serta mengukuhkan asas ekonomi negara.

“Dengan kepimpinan PMX yang berwawasan, saya yakin Belanjawan Bela Rakyat 2026 akan terus memastikan rakyat terbela, ekonomi berkembang, dan keadilan terjamin,” katanya

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *