PARIS – Kylian Mbappe kembali menjadi watak utama apabila Perancis mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas Azerbaijan pada aksi Kumpulan D kelayakan Piala Dunia di Parc des Princes, awal pagi tadi.
Gol daripada Mbappe, Adrien Rabiot dan Florian Thauvin memastikan skuad bimbingan Didier Deschamps kekal di tangga teratas kumpulan dengan sembilan mata maksimum daripada tiga perlawanan, lima mata mengatasi Ukraine yang menang 5-3 di Iceland.
Perancis akan mengesahkan tiket ke Amerika Utara jika berjaya menewaskan Iceland pada Isnin dan Ukraine gagal mengatasi Azerbaijan.
“Saya tidak mahu terlalu teruja, kami menang dan jaringkan tiga gol, tetapi kami sepatutnya boleh dapat lebih,” kata Deschamps yang pernah membantu Perancis membelasah Azerbaijan 10-0 pada 1995.
“Ia tetap tiga mata penting, cuma bukan dengan cara yang kami inginkan. Tugasan selesai dan kini fokus beralih ke Isnin.”
Penyerang Liverpool, Hugo Ekitike diberi kepercayaan membuat penampilan sulung dalam kesebelasan utama, namun babak pertama berlangsung hambar sebelum Mbappe memecah kebuntuan tepat sebelum rehat.
Kapten Perancis itu menerima bola di tepi kotak penalti, mengelak satu terjahan sebelum melepaskan rembatan leret yang menewaskan penjaga gol Shakhruddin Magomedaliyev.
Gol itu menyaksikan Mbappe meledak dalam 10 perlawanan berturut-turut bersama kelab dan negara, selain ia jaringan ke-53 buat Perancis, hanya empat lagi untuk menyamai rekod kebangsaan milik Olivier Giroud.
Empat minit selepas babak kedua bersambung, Ekitike hampir menambah jaringan namun rembatan derasnya dari sebelah kanan sekadar menggegar tiang gol.
Perancis terus menekan benteng Azerbaijan dengan Mbappe hampir menambah gol apabila satu rembatan melintas sedikit di depan gawang dan satu lagi tinggi melepasi palang.
Pada minit ke-68, Magomedaliyev terpaksa menepis percubaan kencang Khephren Thuram – yang turut diberi penampilan sulung – keluar melepasi palang.
Hasil sepakan penjuru itu, bola sampai ke hujung kotak sebelum Mbappe menanduk semula ke tengah untuk Rabiot menanduk rendah menewaskan Magomedaliyev.
Enam minit sebelum tamat, Thauvin – yang kembali beraksi selepas lima tahun – menutup kemenangan bergaya Les Bleus.
Hanya seminit selepas menggantikan Mbappe, penyerang Lens itu menerima bola dengan membelakangi gawang sebelum berpusing pantas dan melepaskan voli padu yang menerjah jaring.
“Ia sungguh luar biasa. Saya rindukan peluang kembali bersama skuad kebangsaan dan berjanji akan berikan segala-galanya walaupun hanya beberapa minit,” kata Thauvin. – AFP
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001