Dua beranak rentung dalam kebakaran di Sungai Buloh

SHAH ALAM – Dua beranak warga emas ditemukan rentung selepas rumah teres satu tingkat yang didiami mereka di Kampung Sri Indah A, Sungai Buloh, dekat sini musnah dalam kebakaran pada awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.50 tengah malam sebelum jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh tiba di lokasi 10 minit kemudian.

“Kebakaran melibatkan sebuah rumah teres satu tingkat yang terbakar 80 peratus. Dua mangsa lelaki masing-masing bapa berusia 94 tahun dan anaknya berumur 62 tahun ditemukan rentung dalam rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi turut dibantu BBP Damansara, BBP Rawang dan BBP Bukit Jelutong melibatkan kekuatan 28 anggota dengan lapan jentera termasuk Fire Rescue Tender (FRT), Emergency Medical Rescue Services (EMRS) serta lori tangki air.

“Kebakaran itu turut memusnahkan dua kereta, iaitu Perodua Alza dan Perodua Kancil yang masing-masing terbakar 80 peratus,” katanya.

Menurut Ahmad Mukhlis, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 3.40 pagi, manakala kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian.

Beliau berkata, unit anjing pengesan K9 JBPM dikerahkan untuk membantu siasatan forensik dan mayat mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Pagi ini, pasukan bomba telah kembali ke lokasi untuk operasi ulangan dan kerja-kerja overhaul bagi memastikan kebakaran tidak berulang,” katanya. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *