Tiga lelaki ditahan kes cederakan Ketua Polis Dang Wangi – KPN

KUALA LUMPUR – Polis menahan tiga lelaki disyaki terbabit dalam insiden menyebabkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman cedera di kepala ketika kekecohan di Kampung Sungai Baru, di sini, hari ini

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail ketika mengesahkan perkara itu berkata, penahanan itu dibuat bagi membantu siasatan berhubung kejadian rempuhan ketika operasi pemotongan bekalan elektrik di kampung berkenaan.

Beliau berkata, Sulizmie yang kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

“Beliau mengalami luka ketika menjalankan penugasan dalam operasi berkenaan. Saya percaya beliau mendapat rawatan sempurna.

“Berikutan insiden itu, kita menahan tiga individu, semuanya lelaki untuk siasatan lanjut,” katanya dipetik Berita Harian selepas Majlis Penutupan Simposium Sains Forensik Kebangsaan Untuk Penguatkuasaan Undang-Undang (NAFSLE) edisi keenam di Maktab PDRM, Cheras, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Khalid berkata, tindakan yang dilakukan pihak berkuasa adalah berlandaskan undang-undang susulan keputusan mahkamah berkaitan kawasan berkenaan.

“Kita menguatkuasakan undang-undang kerana mahkamah sudah mengeluarkan perintah dan pampasan sudah dibayar.

“Mungkin ada perkara yang tidak memuaskan hati pihak tertentu sehingga berlaku kekecohan,” katanya.

Beliau berkata, keselamatan di kampung itu serta kawasan sekitar Kuala Lumpur berada dalam keadaan terkawal dengan pengawasan berterusan oleh anggota polis.

“Keselamatan negara dan di kawasan kampung berkenaan adalah baik serta terkawal. Kita juga sentiasa meningkatkan pengawasan bagi memastikan Kuala Lumpur dan kawasan terbabit berada dalam keadaan selamat,” katanya.

Mohd Khalid turut menasihatkan orang ramai supaya mengekalkan keharmonian serta tidak bertindak mengikut emosi.

“Jangan bertindak membuta tuli. Pastikan maklumat yang diterima daripada sumber sahih supaya perkara yang berlaku dapat dikawal dengan baik,” katanya.

Terdahulu, BH melaporkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Suzilme Affendy Sulaiman cedera ketika mengawal keadaan sewaktu operasi pengosongan bangunan di Kampung Sungai Baru, di sini, hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, dilaporkan berkata Sulizmie cedera akibat dibaling menggunakan objek dalam kejadian. – BH

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *