PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan semalam memberikan kebenaran kepada kerajaan dan polis untuk merayu terhadap keputusan yang mendapati mereka bertanggungjawab atas kematian penggali kubur, Mohd Fadzrin Zaidi, yang ditemukan tergantung di dalam lokap polis pada 2019.
Panel tiga hakim yang bersidang terdiri daripada Datuk Nordin Hassan, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Azmi Ariffin membenarkan permohonan itu berdasarkan dua persoalan undang-undang.
Persoalan pertama menyentuh prinsip yang mengawal pengenaan kewajipan berjaga-jaga, manakala persoalan kedua ialah sama ada sifat kesalahan jenayah yang dilakukan seseorang tahanan perlu dipertimbangkan ketika mahkamah menentukan prinsip kebolehramalan munasabah dalam kes bunuh diri tahanan.
Panel sama turut memberikan kebenaran merayu dalam kes berasingan membabitkan keluarga pengawal keselamatan, M. Thinagaran, yang menyaman kerajaan dan dua pihak lain atas dakwaan kecuaian berhubung kematiannya ketika berada dalam tahanan.
Dua persoalan undang-undang yang dikemukakan dalam kes Thinagaran adalah sama seperti persoalan yang dibangkitkan dalam kes Mohd Fadzrin.
Dalam kes Mohd Fadzrin, kerajaan dan polis memohon kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 26 Jan lalu yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa mereka bertanggungjawab atas kematiannya.
Mohd Fadzrin, 29, ditahan dalam serbuan berkaitan dadah pada 20 Nov 2019 dan direman selama tujuh hari di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara sebelum ditemukan tergantung di dalam selnya pada awal pagi keesokan harinya.
Ibunya, Fadhelah Othman, memfailkan saman terhadap polis dan kerajaan di Mahkamah Tinggi Georgetown pada 2022.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Pada Mei 2024, Mahkamah Tinggi memutuskan polis cuai kerana gagal menghalang Mohd Fadzrin daripada membunuh diri ketika dalam tahanan, selain mendapati kerajaan bertanggungjawab secara vikarius atas kecuaian itu dan memberikan ganti rugi sebanyak RM147,600 kepada Fadhelah.
Mahkamah Rayuan kemudian mengekalkan keputusan berhubung liabiliti, tetapi mengurangkan jumlah ganti rugi kepada RM97,600.
Dalam kes Thinagaran pula, balunya R. Tenaswari, dan bapanya K. Madhavan, selaku pentadbir bersama harta pusakanya, menyaman kerajaan, Pengarah Maritim Selangor serta seorang pegawai penyiasat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) atas dakwaan kecuaian, pelanggaran kewajipan statutori dan salah laku dalam jawatan awam.
Thinagaran, 31, ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai menggantung diri dari siling sel menggunakan sehelai seluar yang diberikan kepadanya ketika ditahan di lokap APMM di Klang pada 2019.
Mahkamah Tinggi sebelum ini membenarkan tuntutan kecuaian itu dan memberikan RM172,800 bagi kehilangan pendapatan, RM6,370 ganti rugi khas, RM5,000 bagi perbelanjaan pengebumian serta RM10,000 bagi kehilangan akibat kematian.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan berkenaan, menyebabkan keluarga Thinagaran memohon kebenaran untuk merayu di Mahkamah Persekutuan.
Pada prosiding di Mahkamah Persekutuan semalam, Peguam Kanan Persekutuan Zureen Elina Mohd Dom dan Nur Ezdiani Roleb mewakili kerajaan dan polis, manakala peguam M. Visvanathan, V. Sanjay Nathan dan Pushan Qin Nathan mewakili Fadhelah.
Bagi kes Thinagaran, peguam M. Manoharan mewakili keluarga Thinagaran, manakala Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin dan Siti Syakimah Ibrahim mewakili kerajaan. – BERNAMA
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
