Penyanyi Thailand, Deqnee Dusongnyo ganti Eda Ezrin nyanyikan lagu Bea Soba Bea Raya

Eda Ezrin minta Tempoh Bertenang

KOTA BHARU – Penyanyi lagu dikir moden, Bea Soba Bea, Eda Ezrin, 30, minta ruang peribadi tidak mahu diganggu selepas dibebaskan dari Penjara Wilayah Narathiwat, Thailand, semalam.

Menurut sumber terdekat, penama Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail kini memerlukan tempoh bertenang sementara menunggu pembebasan suaminya, Mohd Affendi Ahmad, 35, yang masih ditahan pihak berkuasa Thailand.

“Buat masa ini, Eda Ezrin tidak mahu diganggu dan memerlukan satu tempoh bertenang. Dia juga sedang menunggu suaminya pulang ke negara ini.

“Eda Ezrin berharap semua pihak memahami situasinya yang baru sahaja diserahkan kepada keluarga selepas memberi keterangan di Balai Polis Rantau Panjang malam tadi,” kata sumber tersebut ketika ditemui media.

Difahamkan, Eda Ezrin akan kembali berkumpul bersama keluarganya selepas Mohd Affendi dibebaskan dan pulang ke kampungnya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan Eda Ezrin dan rakannya, Nur Aida Mamat, 33, selamat kembali ke pangkuan keluarga masing-masing malam tadi selepas sembilan bulan ditahan di Thailand atas kesalahan berkaitan dadah.

Empat lagi rakyat Malaysia iaitu Mohd Affendi Ahmad, Mohamad Alif Deraman (suami Nur Aida), Eridieka Mohd. Noor, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26, masih ditempatkan di Pejabat Imigresen Sungai Golok dan belum dibebaskan.

Sebaik dibebaskan, Eda Ezrin dan Nur Aida dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang bagi memberi keterangan selama lebih tiga jam sebelum diserahkan kepada keluarga.

Nur Aida dilihat keluar dari balai jam 11.30 malam sebelum menaiki kenderaan keluarganya, diikuti Eda Ezrin kira-kira 10 minit kemudian.

Eda Ezrin yang memakai jubah hitam dilihat berpelukan dengan ibunya, Zahara Mamat, 47, sebelum menaiki sebuah kereta Honda City Hatchback milik keluarga mentuanya.

Sementara itu, polis hanya membenarkan sebuah kenderaan untuk setiap individu dibebaskan memasuki kawasan balai, manakala ahli keluarga lain dan pihak media hanya menunggu di luar pagar.

Usaha media untuk mendapatkan komen Eda Ezrin tidak berjaya apabila beliau enggan bertemu atau memberikan sebarang kenyataan kepada wartawan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *