Polis mampu tangani elemen ekstremis dalam negara

Kebajikan keluarga Koperal Mohd Hafizul diberi perhatian

KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail duka cita atas pemergian Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan yang terkorban ketika menjalankan tugas menahan penjenayah dalam kejadian di Alor Setar, Kedah semalam.

Katanya, pemergian anggota polis itu adalah satu kehilangan besar kepada pasukan keselamatan negara serta mencerminkan keberanian dan semangat juang tinggi dimiliki Allahyarham.

“Pengorbanan seperti ini menjadi inspirasi kepada semua anggota barisan hadapan dan mencerminkan nilai-nilai luhur dalam perkhidmatan PDRM,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Saifuddin turut memberi jaminan kebajikan keluarga Allahyarham akan diberi perhatian sepenuhnya, termasuk penyelesaian segera pembayaran gratuiti, ex-gratia, ganjaran dan sumbangan kepada waris.

Jelasnya, urusan pengurusan jenazah dan pengebumian Allahyarham juga akan diuruskan sepenuhnya oleh PDRM dengan penuh penghormatan sebagai tanda penghargaan atas jasa dan pengorbanannya.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas khidmat bakti Allahyarham dan mengucapkan terima kasih kepada seluruh warga PDRM atas kesetiaan serta pengorbanan mereka dalam memastikan keselamatan negara terus terpelihara,” katanya.

Allahyarham Koperal Mohd Hafizul maut selepas dirempuh dan digilis sebuah kenderaan mewah yang dinaiki empat suspek penjenayah dalam kejadian di Taman Golf, Alor Setar.

Beliau meninggalkan seorang balu dan tiga anak lelaki yang masih kecil.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *