KKM perlu segera selesai isu lantikan doktor – Lam Thye

KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kesihatan (KKM) digesa segera menyelesaikan masalah pelantikan doktor dan doktor kontrak supaya tidak menjejaskan perkhidmatan di fasiliti kesihatan awam.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata kekosongan membabitkan ribuan jawatan doktor itu perlu ditangani segera untuk memastikan keberkesanan perkhidmatan kesihatan.

Beliau berkata, ia sekali gus dapat menyelesaikan permasalahan berkaitan pesakit tidak perlu lagi menghabiskan masa yang lama menunggu untuk mendapatkan rawatan di institut kesihatan awam.

“Hal ini juga dapat memastikan mutu kerja petugas kesihatan lebih efisien serta berupaya mengurangkan beban tugas yang ditanggung mereka.

“Penyegeraan pelantikan ini akan membantu kerajaan untuk mencapai sasaran nisbah doktor kepada penduduk pada nisbah 1:400 orang iaitu seorang doktor untuk 400 penduduk.

“Sasaran yang ditetapkan oleh KKM ini yang perlu dicapai pada tahun ini akan segera tercapai jika pelantikan doktor dan doktor kontrak disegerakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada 25 Julai lalu, KKM digesa mempercepat proses pengisian kekosongan 4,000 jawatan doktor yang dijadual dipenuhi pada penghujung November ini.

Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, perkara itu dibangkitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi Mesyuarat Jemaah Menteri.

KKM menjangkakan kebanyakan ataupun kesemua daripada jawatan itu dapat diisi menjelang November, tetapi, Perdana Menteri berpandangan ia terlalu lewat.

Lam Thye berkata, isu kekosongan jawatan itu juga wajar diisi segera bagi membolehkan pegawai perubatan dapat menawarkan khidmat di semua fasiliti kesihatan kerajaan seperti hospital kerajaan dan klinik kesihatan setempat.

“Kerenah birokrasi yang berlarutan dalam proses pelantikan ini perlu ditangani segera kerana ia telah menjejaskan kecekapan sektor kesihatan awam.

“Pada masa sama, agensi yang terbabit perlu mengurangkan karenah birokrasi dalam pelantikan jawatan kerana ia menjejaskan sektor kesihatan awam yang baik di negara kita.

“Masalah dihadapi sekarang ialah khidmat terbaik daripada doktor yang mencukupi tidak dapat diberikan di kawasan yang memerlukan ramai doktor,” katanya.

Beliau berkata, bilangan doktor perlu ditambah segera memandangkan jumlah pesakit yang semakin ramai khususnya di fasiliti kesihatan awam bagi membolehkan perkhidmatan diberikan lebih baik.

“Terdapat kekosongan jawatan seramai 4,152 orang doktor yang perlu diisi bagi menampung kekurangan perkhidmatan di klinik dan hospital kerajaan.

“Kekurangan doktor dan jururawat ini jika tidak diisi dengan segera akan menjadikan perkhidmatan yang ditawarkan oleh KKM semakin menurun,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *