SERDANG: Pemandu kepenatan dan tidak cukup tidur dipercayai punca kemalangan membabitkan sebuah bas di Jalan Persiaran Universiti 1 di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, semalam.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad, berdasarkan siasatan dijalankan pihaknya susulan kejadian membabitkan bas rombongan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Ampang itu.
“Siasatan mendapati punca kemalangan adalah disebabkan pemandu tidak cukup tidur dan dipercayai terlelap ketika melalui jalan berkenaan.
“Bagaimanapun, ujian saringan awal mendapati dia tidak berada di bawah pengaruh dadah atau alkohol,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan seorang guru dan tiga murid PASTI Ampang cedera selepas bas dinaiki melanggar pokok di UPM semalam.
Kejadian jam 12.18 tengah hari itu berlaku ketika bas membawa lima guru pengiring dan 30 murid dalam perjalanan dari arah sebuah kilang coklat menuju G2G Animal Garden MAEPS, di sini.
Klip video rakaman kamera papan pemuka kenderaan memaparkan kemalangan berkenaan turut tular di media sosial.
Mengulas lanjut, beliau berkata pemandu bas itu kini direman selama dua hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurutnya, semakan juga mendapati individu terbabit mempunyai 13 saman lampau atas nama sendiri.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli hari dilaporkan berkata, pihaknya akan menjalankan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) terhadap pengendali bas terbabit.
“JPJ akan jalankan JISA ke atas pengendali bas tersebut dan akan ambil tindakan selanjutnya selepas laporan audit diterima,” katanya. – Berita Harian
Telegram:https://t.me/nasionaldaily
Facebook:https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok:https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan:admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001