Isu Laut Sulawesi perlu bincang ikut undang-undang dan sejarah, ambil kira persetujuan Sabah – PM Anwar

KOTA KINABALU: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan isu berkaitan Laut Sulawesi mesti dibincangkan dengan berlandaskan undang-undang dan sejarah, selain mengambil kira persetujuan daripada kerajaan negeri Sabah.

Perdana Menteri berkata, sebarang keputusan yang akan dibuat selepas perbincangan juga memerlukan persetujuan daripada negeri ini dan juga Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan perbincangan dua hala bersama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto berhubung isu Laut Sulawesi bersempena Mesyuarat Rundingan Tahunan Malaysia-Indonesia di Jakarta baru-baru ini turut membabitkan penyertaan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Saya (nak) tanya, dulu dalam perundingan-perundingan antarabangsa, ada Perdana Menteri panggil ketua-ketua negeri untuk (turut serta) bincang bersama?

“(Pendekatan) ini kita lakukan dalam Kerajaan MADANI kerana untuk memutuskan (segala perkara berkaitan) sempadan, mesti melibatkan kerajaan-kerajaan negeri termasuk kerajaan negeri Sabah,” katanya ketika berucap pada perasmian penutupan Majlis Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini

Turut hadir Ketua Menteri Sabah, selain Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu dan Timbalannya, Datuk Arthur Joseph Kurup.

Anwar dan Prabowo melalui kenyataan bersama selepas pertemuan di Jakarta itu mengulangi komitmen untuk menyelesaikan isu sempadan dua hala yang masih tertangguh, serta mengalu-alukan kemajuan dalam usaha penetapan sempadan darat dan maritim.

Mereka juga mengarahkan agensi berkaitan mengekalkan momentum dalam menangani kawasan belum dimuktamadkan, termasuk Pulau Sebatik dan Laut Sulawesi, di samping menekankan kepentingan memperkukuh kesalinghubungan di perbatasan dan perdagangan rentas sempadan.

Dalam pada itu, Anwar berkata ketika rundingan di Indonesia itu, beliau melihat keperluan untuk Hajiji terlibat untuk mengetahui apa sebenarnya yang dibincangkan, selain mengemukakan pandangan.

“Dibincangkan soal Laut Sulawesi dan beritahu depan Hajiji, kita kena bincang ikut undang-undang, ikut (berlandaskan) Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) 1982, ikut sejarah dan mesti dipersetujui oleh kerajaan negeri Sabah dan akhirnya Dewan Undangan Negeri.

“Itu yang kita putuskan, dihadapkan dengan syarat rasmi. Bukan celoteh-celoteh, tipu-tipu di bawah ini,” katanya. -Berita Harian

Telegram:https://t.me/nasionaldaily

Facebook:https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok:https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan:admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *