KOTA KINABALU: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan tiada perlindungan diberi kepada mana-mana pihak termasuk pelaku kes membabitkan kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, yang dikaitkan dengan insiden buli, baru-baru ini.
Tegas Perdana Menteri, kematian dengan cara itu bukan perkara yang dipandang ringan dan mahu siasatan mendalam dilaksanakan oleh pihak berkuasa dengan kadar segera.
“Baru-baru ini ada kematian (berkaitan kes Zara Qairina) dan Menteri Pendidikan ‘diserang’. Kematian ini bukan soal yang ringan. Anak petani miskin di Kundasang kalau mati, itu tanggungjawab kita bersama untuk cari (pembunuh) .. bukan tuduh sesiapa.
“Saya bicara terus dengan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail). Dia (Mohd Khalid) kata kita buat siasatan segera, kita cari segala fakta dan selesaikan. Dia kata sudah 60 orang (saksi) diambil keterangan.
“Kita harus ingat ini bukan negara hukum, bukan negara fitnah. Siapa pun terlibat, tidak peduli siapa pun (berkaitan) Tan Sri, Datuk Seri, menteri, anak menteri, kalau terlibat dalam jenayah, pembunuhan atau bersengkongkol, tidak akan diberi perlindungan tetapi jangan memfitnah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam perasmian penutupan Majlis Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.
Sambil memohon maaf kerana bercakap mengenai kes itu dalam majlis berkenaan, Anwar berkata, pihaknya difahamkan laporan lengkap polis berhubung kes terbabit sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.
“Saya tidak campur (dalam urusan kes Zara Qairina). Saya tanya (kepada pihak berkaitan) supaya rakyat tahu,” katanya.
Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, dikatakan terjatuh dari tingkat tiga dan ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada jam 4 pagi, 16 Julai lalu.
Mangsa disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu. – Berita Harian
Telegram:https://t.me/nasionaldaily
Facebook:https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok:https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan:admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
