Kasih yang Menyambung, Rindu yang Tinggal

Oleh: Kassim Muhamad

SILATURAHIM memegang kedudukan yang sangat tinggi dalam Islam dan dianggap sebagai salah satu “tiket” menuju syurga. Ia mengingatkan saya kepada arwah Haji Rozi dan keluarganya yang sentiasa menyantuni kami.

Sebelum arwah jatuh sakit, beliau sanggup datang dari Kota Bharu untuk bertemu kawan baiknya semasa di Maktab Mahmud Alor Setar, Dinsman, dalam aktiviti Santai Seni di Kg Chita Jaya.

Arwah hadir bersama isteri tercinta, Hajah Khatijah, dengan membawa buah tangan istimewa iaitu akok. Wajahnya ceria, senyuman tidak lekang dan beliau sangat seronok berbual bersama kami.

Malah, pada hari tersebut, arwah datang dua kali dan sanggup menginap di Hotel Humaira, Tanah Merah, Kelantan semata-mata untuk tujuan silaturahim.

Ketika arwah tinggal bersama anaknya di Kuala Lumpur untuk memudahkan rawatan di Hospital Putrajaya, kami suami isteri menaiki LRT untuk menziarahinya.

Anakanda Amanina menjemput kami di stesen LRT Kota Kemuning, meneruskan sikap baik arwah ayahandanya. Arwah sangat gembira menerima kunjungan kami dan berbual panjang dengan penuh mesra.

Kami juga dijamu dengan makanan yang sangat sedap. Dalam perbualan itu, arwah sempat berpesan agar dikebumikan di Kuala Lumpur sekiranya sesuatu berlaku, kerana tidak mahu menyusahkan sesiapa. Hati kami tersentuh mendengar pesanan tersebut.

Kami menerima berita pemergian arwah pada pagi Syawal ketiga dengan penuh kesedihan. Apabila mengetahui Hajah Khatijah pulang ke kampung di Terap, Banggu untuk menghabiskan edah, kami menziarahinya bagi memberi semangat.

Kami terharu apabila disambut dengan hidangan makan tengah hari yang lazat iaitu kari ikan tenggiri, ikan goreng dan telur goreng, walaupun Hajah sendiri kurang selera makan sejak pemergian arwah. Katanya, arwah memang suka menjamu tetamu yang datang ke rumah.

Sebelum kami pulang, kami berpelukan erat, terasa ikatan kasih yang mendalam. Hajah turut menghadiahkan sebuah buku tazkirah yang diusahakan sendiri oleh arwah untuk dikumpulkan dan dibukukan.

Sesungguhnya, keluarga ini benar-benar mengangkat silaturahim sebagai satu adab dalam kehidupan berkeluarga.

Penulis, Kassim Muhamad adalah Pengarang Sastera NasionalDaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *