Penyanyi Popular D4vd Didakwa Bunuh Remaja Perempuan, Siasatan Berterusan

LOS ANGELES – Penyanyi dan figura media sosial terkenal, David Anthony Burke atau lebih dikenali sebagai D4vd, berdepan tuduhan bunuh tahap pertama berhubung kematian seorang remaja perempuan berusia 14 tahun, Celeste Rivas Hernandez.

Mayatnya yang dipotong dan dalam keadaan mereput ditemui dalam sebuah Tesla yang didaftarkan atas nama Burke tahun lalu, menurut Pejabat Pendakwa Raya Daerah Los Angeles.

Burke, 21 tahun, turut didakwa melakukan perbuatan cabul ke atas kanak-kanak bawah umur dan memusnahkan mayat.

Pendakwa raya turut mendakwa kes itu melibatkan keadaan khas seperti penantian sebelum pembunuhan, motif kewangan dan pembunuhan saksi, yang boleh meningkatkan hukuman sekiranya sabit kesalahan.

Setakat ini, belum ada keputusan sama ada hukuman mati akan dikenakan.

Pendakwa Raya, Nathan Hochman menggambarkan kes ini sebagai “mimpi ngeri bagi ibu bapa” kerana mangsa hilang selepas pernah dilihat di kediaman Burke di Hollywood Hills pada musim bunga 2025.

Siasatan bermula pada September 2025 apabila pekerja syarikat tunda melaporkan bau busuk kuat dari sebuah Tesla Model Y yang telah lama diparkir dan kemudian ditahan di kawasan perumahan Hollywood Hills.

Polis menemui mayat dalam keadaan dipotong di dalam ruang simpanan hadapan kenderaan itu.

Mayat tersebut dikenal pasti sebagai Celeste Rivas Hernandez, yang dilaporkan hilang oleh keluarganya sejak 2024 dari Lake Elsinore, California. Punca kematian masih belum diumumkan kepada umum.

Burke ditangkap minggu lalu dan kini direman tanpa jaminan sementara pihak pendakwa raya meneliti kes. Penampilan pertamanya di mahkamah dijangka dalam masa terdekat. Peguamnya menegaskan Burke tidak bersalah dan berjanji untuk mempertahankan beliau habis-habisan.

Jika disabitkan bersalah, Burke berdepan hukuman penjara seumur hidup tanpa peluang parol dan kemungkinan hukuman mati di bawah undang-undang California. Keputusan muktamad untuk mengenakan hukuman mati akan diputuskan kemudian.

D4vd, yang berasal dari New York dan dibesarkan di Texas, melonjak populariti melalui lagu-lagu yang menjadi tular di TikTok dan platform penstriman, terutama lagu hit tahun 2022, “Romantic Homicide”, yang meraih ratusan juta tontonan, menjadikannya bintang dalam genre muzik pop dan alternatif.

Berita ini diolah semula oleh NurFarhana Zulkeply. Beliau adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *