Kerap berlaku kemalangan maut: Sultan Perak titah laksanakan langkah preventif

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, bertitah langkah preventif perlu dilaksanakan susulan kerapnya kemalangan jalan raya yang meragut nyawa, mutakhir ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja kepada Sultan Nazrin, Meor Hezbullah Meor Abd Malik, dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa baginda turut menitahkan supaya kemalangan yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), awal pagi tadi, dijadikan sebagai pengajaran.

Antaranya, mengenal pasti kelemahan yang ada untuk dilakukan penambahbaikan, terutama dari sudut penguatkuasaan undang-undang dan peraturan agar kejadian seperti itu dapat dielakkan daripada berulang.

“Walaupun pada hakikatnya ajal maut ditentukan oleh Ilahi, baginda berpendirian bahawa Allah SWT menyeru manusia agar berusaha dan berikhtiar untuk mengelakkan diri daripada ancaman, bencana, bahaya dan malapetaka,” katanya.

Meor Hezbullah berkata, Sultan Nazrin turut menzahirkan perasaan simpati dan ucapan takziah kepada waris mangsa yang kehilangan ahli keluarga dikasihi dalam usia begitu muda.

Beliau berkata, baginda berdoa agar ibu bapa serta keluarga mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian berat itu, selain mendoakan agar roh mereka yang terkorban itu dilimpahi rahmat ihsan Ilahi serta ditempatkan dalam kalangan roh solihin dan solehah.

Terdahulu, Sultan Nazrin bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim yang juga Canselor UPSI, berkenan berangkat ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk menyantuni keluarga mangsa serta mendapat sembah taklimat mengenai tragedi itu daripada pengurusan hospital.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *