Politik dan Aqidah

Oleh: Faiz Fadzil

ADA yang keliru antara ungkapan ‘politik bukan aqidah’ serta ‘aqidah dan perjuangan’.

Lebih menggerunkan apabila ada yang mengambil kesempatan untuk melaga-lagakan kedua-dua ungkapan ini, sedangkan adu-domba itu sikap munafik.

Mengelirukan orang awam atas nama agama satu virus yang bahaya kepada masyarakat, sedangkan maqasid syariat adalah bertujuan untuk menjaga keamanan masyarakat.

Ungkapan pertama ‘politik bukan aqidah’ membawa maksud bahawa politik bukan satu agama atau kepercayaan.

Agama atau kepercayaan itu aqidah yang tidak boleh dipertikai. Politik itu relativism, aqidah itu absolutism, politik itu berubah, aqidah itu tetap, politik itu ciptaan manusia, aqidah itu ciptaan Allah, politik itu dikemudi nafsu, aqidah dikemudi al-Quran.

Sebab itu, seorang alim, tetapi bila berpolitik, hudud menjadi tunggangan, sedangkan hudud dalam aqidah hukumnya wajib.

Seorang alim bila berpolitik, kumpulan Cina pada satu masa menjadi haram, tetapi masa yang lain pula menjadi halal.

Seorang alim bila berpolitik, kerajaan sanggup dikhianati, sedangkan aqidah melarang khianat. Sebab apa semua ini dilihat ‘fragile’, sebab politik itu dipandu nafsu, segalanya bisa berkemungkinan, asalkan kuasa dimiliki.

Adapun ungkapan kedua ‘aqidah dan perjuangan’ membawa maksud politik perlu diperjuangkan untuk mengangkat aqidah.

Politik adalah wasilah bagi menegakkan aqidah dan politik jalan kuasa bagi melaksanakan syariat Islam. Wasilah ini terbuka kepada sesiapa sahaja yang cintakan Islam.

Maka, politik bukan perkara akidah, namun bukan bermakna politik itu tidak penting dalam Islam.

Politik bukan bermaksud batas iman dan kufur. Bermakna, berpolitik tidak menghalalkan perbuatan mengkafirkan sesorang hanya kerana berlainan pandangan, pendekatan dan wadah.

Jelas, kedua-dua ungkapan ini berbeza dari sudut makna, namun sama menerangkan sifat sebenar politik dalam Islam.

Memperjuangkan Islam amanah semua insan, bukan satu golongan sahaja, walaupun dikelilingi orang alim, kerana alim itu bukan asasnya. Asas kepimpinan politik adalah kompetensi dan amanah (surah al-Qasas:26).

Penulis, Faiz Fadzil adalah Setiausaha Agung, Amanah

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *