Polis tahan suami wanita maut tercampak dari van

KUALA LUMPUR – Polis menahan suami kepada wanita yang maut dipercayai tercampak dari sebuah van di Lebuhraya Shah Alam (Kesas), berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Awan Besar, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, lelaki berusia 50 tahun itu ditahan pada jam 6 petang semalam di sekitar Bandar Kinrara.

“Berdasarkan pengakuan awal dan hasil soal siasat yang dijalankan, suspek mengaku berlaku pertengkaran mulut dengan isterinya ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.

“Pada masa ini pihak polis masih dalam proses mendapatkan perintah tahanan reman suspek.

“Sudah semestinya fokus siasatan adalah kepada punca kejadian sama ada suspek menolak isterinya atau mangsa terjun sendiri,” katanya kepada BH, hari ini.

Aidil berkata, suspek dan mangsa telah berkahwin sejak 20 tahun lalu dan mempunyai dua anak.

Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan benzo.

“Dia mendakwa isterinya turut terbabit penyalahgunaan dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Dalam kejadian jam 2.35 petang semalam, polis menerima maklumat daripada lelaki yang melihat wanita tercampak dari sebuah van, sebelum kenderaan itu terus meninggalkan lokasi di Lebuh raya KESAS.

Siasatan di tempat kejadian mengesahkan wanita berusia 44 tahun itu meninggal dunia dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan atas kesalahan menyebabkan kematian secara tidak sengaja.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *