NEW YORK – Elon Musk membelanjakan hampir AS$500 juta (RM2.1 bilion) untuk pilihan raya pertengahan penggal Amerika Syarikat (AS), namun perbelanjaan pada skala rekod itu tidak banyak memberikan pulangan kepada manusia terkaya dunia yang juga mengetuai SpaceX dan Tesla.
Hanya tiga daripada 43 calon Republikan yang disokong Musk bagi kerusi Dewan Perwakilan memenangi pilihan raya pada malam Selasa, berbanding 33 calon yang tewas.
Keputusan bagi baki tujuh kerusi belum diumumkan sehingga lewat Rabu, meskipun calon Demokrat mendahului dalam pengiraan undi setakat ini.
Daripada tujuh calon Republikan yang disokong Musk bagi kerusi Senat, enam tewas manakala keputusan bagi satu lagi kerusi masih belum dimuktamadkan.
Dalam persaingan terakhir itu di Alaska, calon Demokrat, Mary Peltola, mendahului dengan kelebihan tipis selepas 77 peratus undi dikira.
Di Texas, lokasi ibu pejabat SpaceX dan Tesla serta projek usaha sama pembuatan cip yang dirancang Musk, beliau juga gagal mencapai matlamatnya selepas membelanjakan hampir AS$230 juta bagi persaingan kerusi Senat, AS$5 juta untuk pemilihan gabenor dan AS$500,000 bagi pemilihan timbalan gabenor.
“Ramai Demokrat melihat beliau sebagai penyumbang dana besar kepada lawan Republikan mereka dan perkara itu sudah pasti akan mempengaruhi cara mereka melayan beliau secara peribadi,” kata profesor sains politik di Boston College, David Hopkins.
“Risikonya lebih besar kerana beliau pernah menjadi sebahagian daripada pentadbiran Trump dan syarikatnya mempunyai penglibatan langsung dengan kerajaan.”
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Saham SpaceX dan Tesla masing-masing merosot 3.9 peratus dan 3.3 peratus pada Rabu susulan kebimbangan pelabur bahawa Kongres yang dikuasai Demokrat akan memperketat pengawasan terhadap perkhidmatan satelit Starlink milik Musk serta projek pusat data kecerdasan buatan (AI) syarikatnya.
Sumbangan politik Musk yang luar biasa besar, sekali gus membantu melonjakkan perbelanjaan sepanjang kitaran pilihan raya kali ini ke paras rekod baharu, mencetuskan kemarahan Demokrat yang sebelum ini menyatakan bahawa siasatan terhadap Musk dan perniagaannya menjadi antara agenda utama mereka.
Dengan kuasa politik yang kini diperoleh, Demokrat berkata mereka turut memasukkan reformasi pembiayaan kempen dalam senarai keutamaan.
Musk membelanjakan AS$445 juta untuk pilihan raya peringkat persekutuan sahaja, menurut badan pemantau pembiayaan kempen bukan partisan, OpenSecrets.
Bagaimanapun, jumlah sebenar pengaruh kewangannya mungkin tidak akan diketahui sepenuhnya.
Beliau membelanjakan puluhan juta dolar lagi menerusi kumpulan badan bukan berasaskan keuntungan yang menggunakan dana politik tidak telus (dark money), yang mendedahkan maklumat penderma jauh lebih sedikit berbanding jawatankuasa tindakan politik.
Perkara itu didedahkan seorang individu yang mengetahui perbelanjaan kempen Musk.
Beliau juga membelanjakan jutaan dolar lagi untuk pilihan raya peringkat negeri dan tempatan yang tidak mempunyai peraturan pendedahan maklumat kewangan yang seragam, menurut laporan media tempatan.
Jawatankuasa tindakan politik Musk, America PAC, dan peguamnya, Alex Spiro, tidak memberikan maklum balas terhadap permintaan untuk mengulas perkara itu.
Perbelanjaan dalam pilihan raya kebelakangan ini meningkat mendadak susulan kemunculan super PAC, iaitu jawatankuasa tindakan politik yang boleh menerima sumbangan tanpa had daripada individu kaya dan syarikat serta membelanjakan dana untuk kempen dengan sekatan yang minimum.
Penyedia data pengiklanan politik, AdImpact, berkata persaingan kerusi Senat Texas merupakan pilihan raya bukan presiden paling mahal dalam sejarah AS, dengan jumlah perbelanjaan dianggarkan mencecah AS$573.2 juta.
“Kita baru sahaja menghantar mesej kepada setiap jutawan penderma mega, setiap trilionair penderma mega dan setiap penyokong sistem politik yang korup serta rosak ini. Di negeri ini dan negara ini, kuasa adalah milik rakyat,” kata Senator AS yang dipilih, James Talarico, dalam ucapan kemenangannya lewat Selasa di Austin, Texas.
Demokrat dijangka melancarkan beberapa siri siasatan Kongres terhadap syarikat milik Musk, kontrak perniagaannya, tugas beliau ketika mengetuai Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE), penglibatannya dalam konflik Ukraine serta hubungannya dengan Russia.
Beberapa siasatan sudah pun dimulakan. Wakil Demokrat dalam jawatankuasa penyiasatan Dewan Perwakilan dan Senat bulan lalu menghantar surat kepada SpaceX, Jabatan Pertahanan dan Rumah Putih bagi menyiasat tindakan syarikat itu mengehadkan penggunaan sistem satelit Starlink di Ukraine ketika negara berkenaan berdepan fasa kritikal dalam peperangan menentang Russia.
Pihak lain turut mempersoalkan Musk berhubung penyebaran imej wanita dan kanak-kanak dalam bentuk seksual oleh Grok, iaitu chatbot AI miliknya, konflik kepentingan ketika beliau mengetuai DOGE serta kontrak persekutuan SpaceX dengan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) dan Jabatan Pertahanan.
Awal Rabu, ketika keputusan pilihan raya mula menunjukkan gambaran jelas, Musk membuat hantaran di platform X:”Nampaknya laser angkasa saya yang kononnya digunakan untuk campur tangan dalam pilihan raya tidak berkesan kali ini.” – Reuters
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
