Di Sebalik Segulung Ijazah, Ada Doa Ibu dan Keringat Ayah

MUSIM konvokesyen kembali mewarnai universiti dan institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara. Dewan konvokesyen dipenuhi graduan berjubah, wajah ibu bapa yang tersenyum bangga dan air mata kegembiraan yang Ikhlas mengiringi kejayaan anak anak.

Ada yang datang dari jauh, ada yang sudah lama menanti detik ini, malah ada yang membawa bersama kenangan insan tersayang yang tidak sempat menyaksikan kejayaan tersebut.

Konvokesyen bukan sekadar majlis menerima segulung ijazah. Ia adalah perayaan sebuah perjuangan, pengorbanan dan doa yang tidak pernah putus.

Dalam kebanyakan ucapan konvokesyen, kita sering mendengar tentang pengorbanan seorang ibu. Ibu yang mengandung, melahirkan, membesarkan dan tidak pernah berhenti mendoakan anak-anaknya. Sememangnya, kasih dan pengorbanan seorang ibu tiada galang ganti.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Namun, di sebalik kisah ibu yang sering menjadi tumpuan, jangan kita terlupa seorang lagi insan yang mungkin kurang disebut namanya. Dialah ayah.

Ayah yang tidak banyak berkata-kata. Ayah yang mungkin kekok meluahkan kasih sayang. Ayah yang tidak selalu bertanya tentang peperiksaan, tetapi diam-diam mengambil tahu perkembangan pengajian anaknya.

Ayah yang pulang dengan tubuh letih, menyimpan penat dan menyembunyikan kesusahan agar anak-anak dapat terus belajar tanpa memikirkan beban yang ditanggungnya.

Mungkin ayah tidak selalu memeluk dan mencium anaknya. Namun, setiap titis peluh yang mengalir adalah sebahagian daripada kasih sayangnya.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Ada ayah yang sanggup menangguhkan keperluan sendiri, mengikat perut dan bekerja lebih masa demi memastikan yuran pengajian serta wang perbelanjaan anak sentiasa mencukupi.

Saya sendiri telah bertahun tahun berpeluang menulis draf teks ucapan untuk majlis-majlis rasmi di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Pengalaman itu mengingatkan saya bahawa setiap patah perkataan dalam ucapan konvokesyen membawa makna yang besar.

Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani sendiri menyarankan sesekali berikanlah ruang dalam ucapan untuk menyebut pengorbanan seorang ayah.

Bukan untuk mengurangkan penghargaan kepada ibu, tetapi untuk melengkapkan sebuah kisah pengorbanan keluarga graduan.

Mungkin ada yang melihatnya ini cadangan yang bersifat peribadi kerana beliau sendiri adalah seorang ayah, tetapi usul ini sebenarnya amat manusiawi dan menzahirkan penghargaan yang jelas buat seluruh keluarga demi sebuah kejayaan yang bukan mudah untuk digenggam.

Pendekatannya bukanlah untuk membandingkan pengorbanan ibu dengan ayah, apatah lagi mengurangkan penghargaan terhadap ibu. Sebaliknya, kita mahu melengkapkan naratif tentang pengorbanan sebuah keluarga.

Di kesempatan ini, kepada semua graduan yang diraikan di seluruh universiti dan IPT Malaysia, setinggi-tinggi tahniah diucapkan.

Tahniah kepada penerima anugerah kecemerlangan termasuk anugerah pelajaran diraja, anugerah naib canselor, graduan kelas pertama dan semua yang berjaya menamatkan pengajian.

Setiap kejayaan, besar atau kecil, wajar diraikan kerana setiap satunya hadir bersama cerita perjuangan tersendiri.

Buat mereka yang masih berjuang, jangan pernah berputus asa. Jika perlu mengulang subjek, ulanglah. Jika perlu mengulang semester, teruskanlah.

Tidak mengapa jika perjalanan kita lebih panjang daripada orang lain. Tidak mengapa jika rakan-rakan sudah bergraduasi sedangkan kita masih bergelut dengan tugasan dan peperiksaan.

Jangan malu untuk bermula semula. Yang penting, jangan berhenti sebelum sampai ke penghujungnya. Lambat bukan bermakna gagal, detik akhir yang manis pasti menunggu.

Buat pelajar-pelajar yang baru melangkah ke alam universiti, gunakanlah peluang ini sebaik-baiknya. Belajarlah bersungguh-sungguh, hargai pensyarah, pilih sahabat yang baik dan uruslah masa dengan bijaksana.

Jangan terlalu leka dengan kebebasan sehingga terlupa siapa yang sedang bersusah payah di belakang kita.

Ingatlah, ada insan yang menaruh harapan besar terhadap keberadaan kalian di IPT dan mengimpikan kejayaan kalian yang cemerlang.

Akhirnya nanti, apabila nama dipanggil dan kaki melangkah ke pentas konvokesyen, jangan hanya mencari wajah ibu di celah-celah hadirin. Carilah juga wajah ayah.

Lihatlah rambutnya yang mungkin semakin memutih, wajahnya yang semakin dimamah usia dan senyuman bangganya yang mungkin cuba disembunyikan.

Kerana di sebalik segulung ijazah, ada doa seorang ibu, ada keringat seorang ayah dan ada sebuah keluarga yang tidak pernah berhenti berharap.

Selamat berkonvokesyen kepada seluruh warga graduan Malaysia. Semoga ilmu menjadi cahaya, kejayaan menjadi amanah dan setiap pengorbanan insan tersayang menjadi kekuatan untuk terus melangkah.

Dr Siti Suriani Othman ialah Presiden dan Pengasas USIM Writers’ Pool, dan Pensyarah Kanan Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *