KPT kaji tambah Kolej Komuniti di pedalaman Sabah, Sarawak – Zambry

PAPAR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan meneliti keperluan menambah Kolej Komuniti khususnya di pedalaman Sabah dan Sarawak serta mempertimbangkan penambahan fasiliti tambahan seperti asrama.

Menteri, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata pihaknya melihat ada keperluan mempertimbangkan perkara terbabit selepas beliau mengadakan lawatan kerja di Kolej Komuniti Beaufort, Februari lalu.

“Namun dalam konteks di Sabah dan Sarawak, kita memikirkan supaya disediakan (fasiliti seperti asrama) ini diperkemaskan terlebih dahulu bagi Kolej Komuniti yang sedia ada,” katanya selepas Majlis Perasmian Kolej Komuniti Papar @ Sabah Digital Academy di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Menteri KPT, Datuk Mustapha Sakmud dan Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Datuk Mohd Zahari Ismail.

Mengulas penubuhan Kolej Komuniti Papar, Zambry berkata kolej terbabit adalah antara kolej yang menawarkan kursus dalam pengkhususan bidang teknologi maklumat yang turut dianjakkan kepada teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Menurut laporan World Economic Forum (WEF), menjelang tahun 2025, AI dan automasi dijangka menggantikan kira-kira 85 juta pekerjaan di seluruh dunia.

“Ini bermakna, kursus yang ditawarkan seperti di Kolej Komuniti Papar ini penting bagi menghasilkan tenaga kerja yang dapat menyesuaikan diri dengan keperluan industri yang semakin berubah,” katanya.

KPT setakat ini mempunyai 106 Kolej Komuniti dengan jumlah pelajar seramai 18,435 orang setakat tahun lalu.

PIX 1: PAPAR 2 MEI 2025. Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyaksikan gimik penyerahan kunci sebagai simbolik sesi penyerahan projek Kolej Komuniti Papar @ Sabah Digital Academy – ihsan Politeknik Kota Kinabalu

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *