KUALA LUMPUR – Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa mengumumkan penundaan tarikh pencalonan pemilihan peringkat pusat.
Bagaimanapun, dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam itu, tidak menyatakan sebab mengapa keputusan penangguhan itu dibuat.
“Dimaklumkan bahawa JPP memutuskan untuk menangguhkan proses Pencalonan Pemilihan 2025 peringkat Pusat yang dijadualkan pada 3 (hari ini) dan 4 Mei (esok).
“Tarikh baharu bagi Pencalonan Peringkat Pusat akan berlangsung pada 8 Mei ini bermula jam 12 tengah malam hingga jam 11.59 malam,” katanya.
Menurut Dr. Zaliha, proses pencalonan untuk pemilihan itu akan dilakukan sepenuhnya secara dalam talian.
“Saudara dan saudari yang berminat menawarkan diri menjadi calon Pemilihan Parti Peringkat Pusat hendaklah mengisi dan melengkapkan borang pencalonan melalui pautan https://pencalonanpusat.keadilanrakyat.org,” katanya.
Pengumuman itu keluar ketika beberapa pihak menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap proses pemilihan peringkat cabang yang berlangsung baru-baru ini. Ia menyaksikan sejumlah tokoh – termasuk dalam kalangan menteri atau wakil rakyat – dikalahkan oleh pencabar dalam kalangan ahli biasa.
Sesetengah pihak menganggap calon berpengaruh yang kalah itu merupakan tokoh dalam kalangan kem Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.
Kegagalan atau kekalahan mereka memberi gambaran bahawa Menteri Ekonomi terbabit berdepan jalan sukar untuk mempertahankan jawatan nombor dua parti apabila pemilihan peringkat pusat dijalankan tidak lama lagi.
Rafizi juga dilaporkan “bercuti” selama beberapa hari.
Antara yang tewas dalam pemilihan peringkat cabang ialah Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad; Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasir; dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim.
Beberapa calon sudah memfailkan aduan dengan mempersoalkan integriti sistem pengundian dan mendakwa wujudnya “tangan ghaib” yang campur tangan dalam keputusan tersebut.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kemudian mengesahkan bahawa juruaudit bebas dilantik untuk menangani aduan yang diterima mengenai dakwaan penyelewengan proses pemilihan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001