Pengaruh label dalam kehidupan manusia secara umum, termasuk Sasterawan 

Hari ini Pak Long ingin paparkan sebuah petikan* nota lama tentang arwah kawan rapat Pak Long, Cikgu Ishak Surin dalam program ‘Baca Puisi Madrasah Seni’ (BPMS) yang dianjurkan Seniman Paksi Rakyat (PAKSI)  di Madrasah Tarbiah Kampong Banda Dalam, Gombak lebih sedekad yang lalu. Satu catatan yang pada pandangan Pak Long masih lagi relevan sehingga ke hari ini.

Salah satu kaedah mudah yang kerap digunakan untuk mematikan musuh – khususnya musuh politik – ialah dengan memberikan label-label yang ‘terbaik’ buat musuh itu. Jadi siapa saja yang dianggap musuh, lebih-lebih lagi yang dikenalpasti sebagai musuh bebuyut yang dilihat sangat mengancam, dicari dan diberikan label yang ‘hodoh’ lagi menakutkan.  Contoh yang kita boleh lihat ialah apabila Penjajah Inggeris Malaya menggunakan label ‘Komunis’ untuk mematikan pengaruh golongan kiri yang bermati-matian mahu menghalaunya dari Malaya.

Dan, ternyata label ‘Komunis’ sebagai ideologi yang garis besarnya menyentuh pembahagian habuan ekonomi yang lebih adil dalam masyarakat, belum mencukupi. la dilihat tidak cukup ampuh untuk membunuh musuh politik. la mesti digandingkan dengan satu lagi frasa pukulan maut iaitu ‘Komunis yang anti-Tuhan’.  Label sebegini menakutkan masyarakat Melayu yang beragama Islam. Ternyata taktik ini sangatlah berkesan. Orang Melayu Islam mesti memastikan mereka dan ahli keluarga mereka tidak disentuh oleh fahaman kiri (baca: Komunis).

Aneh, tapi benar, golongan kiri yang sepanjang hayatnya bermati-matian berjuang membebaskan Malaya dari cengkaman British – yang berjuang dengan slogan “Merdeka!” (sedangkan ketika itu, kelompok lain masih lagi berfikir tentang “Hidup Melayu”) adalah golongan pejuang kemerdekaan yang tersingkir dan disingkirkan dari sejarah arus perdana. Mereka ditewaskan oleh label ‘terbaik’- ‘Komunis yang anti-Tuhan’ yang diberikan oleh musuh politik mereka.

Ternyata Ishak Surin sebagai seorang pejuang juga tidak berupaya membuang label seperti ini. Label bahawa dia kiri@sosialis kekal buat selama-lamanya. Dan dalam kalangan orang Melayu, ini adalah satu konotasi yang amat buruk. Orang Melayu tidak gemar dengan label ‘sosialis’ kerana ia juga dianggap ‘tidak dekat dengan Tuhan’. Sebaliknya mereka lebih gemar yang pakai label Ostad kerana kononnya – ia dekat dengan Tuhan dan tentunya jauh lebih bagus.

Tentu ada pengajaran yang boleh dikutip dengan cerita dan citra label dalam kehidupan kita. Pengajaran paling penting ialah setiap orang sewajarnya berhenti mendengar dan melayan label. Kenapa? Bagi Pak Long label itu termasuk dalam kelompok menggunjing/mengumpat. Orang-orang yang gemar umpatan jarang berfikir apatah lagi merenung setiap kali dia bertemu dengan umpatan. Mereka lebih gemar sensasi berbanding merenung dan berfikir. Ini pandangan Pak Long – pandangan generasi zaman silam.

Nota tambahan, 13 April 2025:

Sesungguhnya persoalan label ini bukanlah sesuatu yang terlalu asing bagi sesetengah pihak. Misalnya ada Non-Governmental Organisation (NGO) sastera budaya yang dicop sebagai kelompok ‘yang gemar sekali membangkang’ atau label-label lain yang mengusik hati dalam perjuangan mereka menegakkan kebenaran. Dalam konteks ini, jarang kedengaran NGO seni budaya yang sentiasa konsisten menegur dan mengkritik siapa saja – termasuk – sang Penguasa, itu dilihat sebagai satu pendekatan yang positif dan membina.  Bukan sesuatu yang aneh dan luar biasa jika terdapat sesetengah NGO sastera yang sentiasa saja menyokong segala tindakan sang Penguasa. Agaknya ini pendekatan yang terbaik dan ‘selamat’ bagi NGO-NGO ini.

Bagi Pak Long, kritikan dan teguran yang seimbang dan jujur lebih membantu dalam hal-hal semak dan imbang dalam apa saja bidang pengurusan negara, termasuk pengurusan sastera dan budaya.  Dan – tentunya –  bukannya dengan melabel atau mengampu. Apa pun kita dapat faham; banyak udang banyak garam, banyak orang banyak ragam.

*Oktober 14, jam 9:16 malam. Cikgu Ishak Surin, Paksi dan BPMS 16 Oktober 2015.

ND: IshakSurin-BPMStahun201513april2025

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *