Oleh Fatin Sajidah Fathuldin
KUALA LUMPUR – Sekitar tahun 2015 hingga 2017, rakyat Malaysia antara yang paling lantang menyuarakan solidariti terhadap etnik Rohingya yang melarikan diri daripada konflik dan penindasan di Myanmar.
Ketika dunia dikejutkan dengan laporan kampung dibakar, pembunuhan dan penghijrahan besar-besaran pelarian Rohingya, pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tokoh agama, ahli politik serta masyarakat awam tampil membawa mesej kemanusiaan menerusi kempen “Save the Rohingya”.
Namun, hampir sedekad kemudian, suasana itu dilihat berubah dengan ketara.
Perdebatan yang dahulunya tertumpu kepada bantuan kemanusiaan kini beralih kepada isu kos sosial, penggunaan kemudahan awam, peluang pekerjaan, keselamatan serta beban yang ditanggung negara di media sosial, semakin banyak hantaran yang mempersoalkan kehadiran Rohingya di Malaysia.
Perubahan sentimen itu kembali menjadi perhatian selepas tular beberapa perkongsian termasuk seorang pengguna Thread menggambarkan pengalaman petugas kesihatan berdepan pesakit bukan warganegara, termasuk Rohingya.
Dalam satu hantaran, seorang petugas kesihatan mendedahkan beliau dilatih untuk memastikan aspek kewangan diselesaikan terlebih dahulu bagi kes bukan kritikal sebelum rawatan diteruskan, kecuali kes kecemasan yang melibatkan ancaman nyawa.
Perkongsian itu mencetuskan pelbagai reaksi yang menyifatkannya sebagai langkah perlu bagi melindungi sumber kesihatan awam yang terhad, manakala ada yang menganggap pendekatan tersebut bertentangan dengan prinsip kemanusiaan.
Pada masa sama, satu lagi kontroversi tercetus apabila tular kenyataan yang didakwa dibuat oleh sebuah kumpulan aktivis Rohingya yang menggesa komuniti tersebut bersatu menuntut hak lebih luas di Malaysia, termasuk pengiktirafan yang lebih besar terhadap kedudukan mereka di negara ini.
Walaupun kesahihan dan konteks penuh kenyataan tersebut terus diperdebatkan, reaksi rakyat Malaysia di media sosial menunjukkan tahap sensitiviti yang semakin tinggi terhadap isu berkenaan.
Antaranya termasuk persepsi berkaitan peningkatan masalah sosial, persaingan ekonomi dalam sektor pekerjaan berpendapatan rendah, isu dokumentasi, tekanan terhadap kemudahan awam serta beberapa insiden tular yang melibatkan individu daripada komuniti Rohingya.
Namun, penganalisis mengingatkan bahawa tindakan segelintir individu tidak boleh dijadikan ukuran terhadap keseluruhan komuniti yang terdiri daripada puluhan ribu pelarian dan pencari suaka.
Menurut mereka, perdebatan mengenai Rohingya kini terperangkap antara dua naratif yang terlalu ekstrem di mana satu pihak melihat Rohingya semata-mata sebagai mangsa yang perlu diberikan perlindungan tanpa syarat, manakala satu pihak lagi menganggap seluruh komuniti tersebut sebagai beban dan ancaman kepada negara.
Hakikatnya, kedua-dua pandangan itu gagal menggambarkan kerumitan sebenar isu berkenaan.
Apa yang semakin jelas ialah kegagalan mewujudkan dasar pelarian yang jelas dan mampan menyebabkan isu Rohingya terus berada dalam keadaan tergantung selama bertahun-tahun.
Akibatnya, pelarian terus berada di Malaysia tanpa penyelesaian jangka panjang, NGO terus menyalurkan bantuan, kerajaan berdepan tekanan diplomatik dan kemanusiaan, manakala rakyat pula semakin menunjukkan tanda-tanda keletihan terhadap isu yang dianggap tidak berkesudahan.
Persoalan utama hari ini bukan lagi sama ada Malaysia perlu “menyelamatkan Rohingya” atau “menghalau Rohingya”.
Sebaliknya, cabaran terbesar negara adalah mencari keseimbangan antara tanggungjawab kemanusiaan terhadap pelarian dengan hak, keselamatan dan kepentingan rakyat Malaysia sendiri.
Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di Nasional Daily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L