PWPPRCSWKM lapor polis pembuli siber, penabur fitnah

KOTA BHARU – Pertubuhan Warisan Pusaka Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Malaysia (PWPPRCSWKM) memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau pemilik akaun media sosial yang cuba membuli dan melemparkan fitnah terhadap NGO itu.

Perkara itu ditegaskan Bendahari Agung PWPPRCSWKM, Noatiqi Rasidi menerusi laporan yang dibuatnya di Balai Polis Daerah Machang tengah hari ini, berhubung penyiaran lencana kereta (emblem) tiruan yang menyerupai hak milik pertubuhan itu dalam akaun Facebook bernama ‘AMAR’.

Menurut beliau, tindakan undang-undang juga akan diambil ke atas pemilik akaun berkenaan, termasuk beberapa media sosial lain kerana gagal memadamkan video yang memaparkan emblem berkenaan, walaupun sudah diminta berbuat demikian.

“Saya telah membuat laporan di Balai Polis Machang pada jam 1.27 tengah hari ini terhadap akaun facebook ‘AMAR’ yang memviralkan emblem pertubuhan itu yang ditiru.

“Pada 20 Mac lalu, jam 9.54 malam, ketika saya berada di pejabat pengurusan PWPPRCSWKM di Kampung Lalang Luas, Labok, Machang, saya telah menerima mesej whatshap daripada Setiausaha Agung pertubuhan memberitahu ada satu video yang disiarkan oleh Facebook halaman page bernama ‘AMAR’ telah menunjukkan emblem pertubuhan itu yang dikatakan ditiru oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Saya cuba menghubungi nombor telefon yang tertera pada Facebook berkenaan, termasuk menghantar mesej untuk memaklumkan mengenai perkara itu, tetapi tidak dijawab atau dibalas oleh pemiliknya,” katanya kepada NasionalDaily hari ini.

Namun, ujar Noatiqi, mesejnya itu telah ditangkap layar dan dipaparkan pada status Facebook terbabit dengan catatan “Page ini akan dipadam tak lama lagi”.

Pada 10 April lalu pula, sekitar jam 10.16 pagi, seorang ahli pertubuhan menghubungi pihak pengurusan memaklumkan telah menerima mesej tangkap layar memaparkan gambar emblem berserta mesej Yang Dipertua PWPPRCSWKM yang dihantar dalam Facebook ‘AMAR’.

Sebelum ini, katanya, masalah buli siber terhadap PWPPRCSWKM sudah banyak kali berlaku dalam facebook lain seperti PW Community dan Scam No One.

“Tujuan saya datang ke balai polis buat laporan untuk memberi amaran keras kepada empunya halaman buli siber, khususnya pengeluar emblem untuk tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan emblem tanpa kebenaran dan pengetahuan pertubuhan kami.

“Kami telah mendaftar cop dagangan MyIPO sejak 16 Jun 2015 lagi dan tindakan undang-undang akan diambil kepada mana-mana pembuli siber di luar sana tidak kira dalam facebook, TikTok mahupun lain-lain platform media sosial.

“Tindakan juga termasuk kepada mereka yang meninggalkan komen negatif, memperlekeh, menghina dan memburukkan imej PWPPRCSWKM serta pengeluar barangan cenderamata yang tidak bertanggungjawab dalam mengeluarkan barangan produk milik sah pertubuhan ini,” ujar beliau.

Kata beliau, nama pertubuhan PWPPRCSWKM telah dipinda daripada Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Malaysia kepada Pertubuhan Warisan Pusaka Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, lambang pertubuhan yang lama masih menjadi hak pertubuhan dan dilindungi dalam MyIPO yang didaftarkan oleh pertubuhan itu. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *