Sekatan Akaun Bawah 16 Tahun: Perlindungan atau Pencerobohan Privasi?

Oleh: Fatin Sajidah Fathuldin

KUALA LUMPUR – Penguatkuasaan larangan pemilikan akaun media sosial bagi individu berusia bawah 16 tahun bermula pada 1 Jun lalu susulan pelaksanaan pengesahan umur di bawah Kod Perlindungan Kanak-kanak (CPC) mencetuskan perdebatan berkenaan keselamatan kanak-kanak di alam siber dan hak privasi pengguna.

Kerajaan menegaskan langkah itu bertujuan melindungi golongan muda daripada ancaman seperti buli siber, eksploitasi seksual, aktiviti grooming, penipuan digital serta kandungan berbahaya yang semakin mudah diakses melalui platform media sosial.

Antara kes yang mendapat perhatian antarabangsa ialah kempen #FreeSchlep pada 2025, yang melibatkan seorang content creator dan mangsa eksplotasi seksual pada umur 12 tahun dalam komuniti permainan Roblox yang mendakwa membantu mendedahkan beberapa individu disyaki pemangsa seksual kanak-kanak menerusi operasi akaun umpan.

Kes itu mencetuskan perdebatan meluas mengenai tahap keselamatan kanak-kanak di platform digital serta sejauh mana syarikat teknologi mengambil tanggungjawab melindungi pengguna bawah umur daripada ancaman eksploitasi seksual dan aktiviti grooming dalam talian.

Dalam kalangan ibu bapa, terdapat sokongan terhadap langkah berkenaan kerana dianggap mampu mengurangkan risiko anak-anak terdedah kepada jenayah siber dan pengaruh negatif di internet.

Seorang ibu, Nurul Amira Ahmad, berkata media sosial kini terlalu terbuka dan sukar dipantau sepenuhnya oleh ibu bapa.

“Kita tidak tahu dengan siapa anak-anak berinteraksi dalam talian. Kes seperti yang berlaku dalam media sosial menunjukkan ancaman itu memang wujud dan bukan sekadar andaian,” katanya.

Ada sesetengah berpendapat sekatan umur boleh membantu mengurangkan pendedahan kanak-kanak kepada kandungan tidak sesuai serta individu tidak dikenali.

“Kerajaan perlu memastikan penguatkuasaan dilakukan secara menyeluruh. Kalau hanya platform tertentu yang melaksanakan pengesahan umur, remaja mungkin akan beralih ke aplikasi lain yang kurang dikawal.

“Kanak-kanak belum cukup matang untuk menilai semua risiko di internet. Sedikit kawalan tambahan boleh membantu melindungi mereka,” kata seorang penjual jagung yang mempunyai dua anak bawah umur 16 tahun.

Bagaimanapun, terdapat juga ibu bapa yang berpendapat larangan secara menyeluruh bukan penyelesaian terbaik.

Pandangan sama turut dikongsi sebahagian orang ramai yang berpendapat penguatkuasaan peraturan itu mungkin berdepan cabaran apabila remaja menggunakan identiti palsu atau akaun milik individu dewasa untuk mengakses platform media sosial.

Mereka juga bimbang langkah itu boleh meningkatkan risiko kebocoran data sekiranya berlaku serangan siber atau penyalahgunaan maklumat oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Walaupun terdapat perbezaan pandangan mengenai kaedah pelaksanaannya, kebanyakan pihak bersetuju bahawa ancaman seperti grooming, eksploitasi seksual dalam talian, buli siber dan penipuan digital memerlukan tindakan lebih tegas daripada kerajaan serta syarikat teknologi.

Dengan penguatkuasaan peraturan baharu itu, Malaysia kini menyertai beberapa negara lain yang memperketat kawalan terhadap akses media sosial dalam kalangan kanak-kanak ketika perdebatan global mengenai keselamatan digital dan hak privasi terus berkembang.

Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di Nasional Daily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *