Oleh NurFarhana Zulkeply
KOTA WARISAN – Larangan pendaftaran akaun baharu media sosial bagi pengguna berusia bawah 16 tahun bermula 1 Jun 2026 disifatkan langkah tepat dalam usaha melindungi kanak-kanak daripada risiko dunia digital.
Tinjauan NasionalDaily mendapati ramai ibu bapa menyokong pelaksanaan pengesahan umur di bawah Kod Perlindungan Kanak-kanak (CPC), terutama ketika penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak semakin membimbangkan.
Seorang guru, NurAini Zulkeply, 42, yang menetap di Kota Warisan, Sepang, berkata, peraturan itu dapat membantu mengurangkan pendedahan kanak-kanak kepada kandungan tidak sesuai, buli siber dan pengaruh negatif di media sosial.
“Saya setuju langkah ini kerana kanak-kanak bawah 16 tahun masih perlukan bimbingan. Mereka mudah terpengaruh dengan apa yang dilihat di media sosial,” katanya.
Menurut NurAini, ibu bapa juga tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada peraturan semata-mata, sebaliknya perlu terus memantau aktiviti anak-anak di platform digital.
“Peraturan ini bagus, tetapi pemantauan di rumah tetap penting. Ibu bapa perlu tahu apa yang anak-anak tonton, siapa yang mereka ikuti dan bagaimana mereka menggunakan media sosial,” katanya.
Beliau turut berharap pelaksanaan CPC dilakukan secara menyeluruh supaya platform berlesen benar-benar mematuhi keperluan pengesahan umur.
Bermula 1 Jun 2026, pengguna media sosial berusia bawah 16 tahun tidak lagi dibenarkan membuka akaun baharu di platform berlesen selepas pelaksanaan pengesahan umur di bawah Kod Perlindungan Kanak-kanak (CPC).
NurFarhana Zulkeply adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L